Hannah Yeoh beri keterangan di IPD Sentul isu ziarah gereja


  • 112
  • Isnin, 20 Mac 2023

Hannah ketika bertemu para pengamal media di IPD Sentul, Kuala Lumpur pada Isnin. — Bernama

MENTERI Belia dan Sukan Hannah Yeoh pada Isnin hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Kuala Lumpur pada Isnin bagi membantu siasatan berkaitan penganjuran program 'Jom Ziarah Gereja' oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bernaung di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Beliau tiba di IPD Sentul bersama peguamnya, Sangeet Kaur Deo kira-kira pukul 5.30 petang.

Ahli Parlimen Segambut itu berkata, beliau memberikan kerjasama penuh kepada siasatan polis dan keterangannya konsisten seperti yang dijawab dalam Parlimen minggu lepas berkaitan program berkenaan.

"Saya hadir selepas membaca berita bahawa saya dipanggil untuk memberi keterangan hari ini (Isnin) dan tidak mahu membuang masa," katanya kepada pemberita di hadapan IPD Sentul, Kuala Lumpur pada Isnin.

Beliau turut berharap polis dapat melengkapkan kertas siasatan berhubung kes itu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai ketika dihubungi mengesahkan Hannah hadir memberi keterangan pada Isnin bagi membantu siasatan.

Pada Ahad, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim dilaporkan berkata satu kertas siasatan dibuka berhubung penganjuran program itu walaupun program berkenaan telah dibatalkan.

Program 'Jom Ziarah Gereja' adalah inisiatif di bawah Projek Artikel 11 diterajui Impact Malaysia iaitu sebuah NGO yang bernaung di bawah KBS.

Selasa lepas, ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2023 bagi Kementerian Belia dan Sukan di Dewan Rakyat, Hannah menjelaskan bahawa program 'Jom Ziarah Gereja’ tidak melibatkan individu beragama Islam. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram