MENTERI Ekonomi Rafizi Ramli menjelaskan beliau tidak mengenali pihak yang bertanggungjawab menghantar bungkusan yang berisi ubat gigi ekstrak daun ganja, yang dihantar ke alamatnya dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pulau Meranti, Sepang, Selangor pada Jumaat lalu.
Beliau berkata, bungkusan tersebut sudah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Dua-dua kami tidak ambil ganja, jadi itu pembaziran dan bungkusan itu sudah dihantar ke polis,” katanya pada sidang media di Dewan Rakyat pada Selasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rampasan bungkusan mengandungi ekstrak ganja yang dialamatkan kepadanya dan Perdana Menteri
Pada Isnin, Polis Sepang memaklum merampas bungkusan disyaki ubat gigi ekstrak daun ganja yang dialamatkan kepada Rafizi dan Anwar di sebuah syarikat kurier di Pulau Meranti Jumaat lalu.
Rampasan itu dilakukan susulan maklumat daripada laporan seorang petugas pejabat kerajaan di Kementerian Ekonomi, Menara Prisma, Putrajaya yang menerima panggilan menyatakan ada satu bungkusan atas nama dua ahli politik berkenaan.
Ekoran itu, polis merampas satu tiub ubat gigi berpenutup hijau dan putih bercorak daun ganja tertera tulisan 'Happy Green' seberat 80-gram dalam bungkusan kotak berwarna coklat.
Semakan polis mendapati barang tersebut dibeli pengirim melalui platform Shopee beralamat di Indonesia.
Sementara itu, dalam sidang media yang sama Rafizi berkata, mesyuarat Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah), pada Selasa bersetuju supaya satu kaedah dan proses permohonan ekspatriat yang lebih pendek akan diumumkan kerajaan dalam tempoh tiga bulan dari sekarang.
Beliau yang juga Pengerusi Pemudah berkata tempoh itu untuk memberi ruang dan masa kepada semua agensi yang terlibat, melakukan lakukan harmonisasi.
"Kita pastikan bahawa dalam usaha kita memudahkan proses permohonan permit ekspatriat ini, ia juga mematuhi semua kehendak undang-undang dan dasar negara,” katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram