Dua calon SPM celupar mengaku tak fikir panjang, peguam desak Fadhlina Sidek masuk campur


  • Primer
  • Ahad, 26 Feb 2023

Tangkap layar video aksi pelajar terbabit ketika mencaci-maki pembuat kertas soalan Sejarah SPM 2022 di media sosial.

KUMPULAN peguam, Lawyers for Liberty (LFL) mengkritik penahanan dua remaja bagi membantu siasatan berhubung video tular pelajar sekolah menengah itu kerana tidak berpuas hati dengan kertas soalan Sejarah, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

LFL mengecam tindakan "terlalu keras" oleh polis yang menahan dua pelajar Tingkatan Lima, yang mengeluarkan kata-kata kesat itu.

Kumpulan peguam aktivis itu juga menggesa Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek untuk bersuara mengenai penahanan dua pelajar terbabit kerana tindakan polis terhadap kedua-dua pelajar itu "akan memberi kesan kepada ibu bapa di seluruh negara jika tidak ditangani".

Pengarah Lawyers for Liberty, Zaid Malek berkata, tindakan polis menyerbu rumah pelajar tersebut disusuli dengan penahanan dan ujian saringan dadah boleh memberikan "trauma melampau" kepada mereka dan keluarga.

Pada Jumaat, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah mengesahkan penahanan mereka dan berkata, tindakan dibuat susulan laporan oleh seorang guru di sekolah mereka.

“LFL terkejut kerana polis telah mengambil pendekatan yang keras terhadap dua remaja terbabit.

"Ia disebabkan video tular yang mana dua pelajar itu meluahkan kekecewaan mereka pada kertas sejarah SPM mereka.

"Walaupun komen yang dikeluarkan tidak menyenangkan, ia sama sekali tidak wajar ada campur tangan pihak polis. Ia sepatutnya menjadi urusan pihak sekolah dan ibu bapa untuk menanganinya.

“Mereka hanyalah remaja yang bersikap kebudak-budakan dan sudah meminta maaf atas video yang mereka buat, namun mereka dilayan seperti penjenayah yang melakukan kesalahan berat,” kata kenyataan itu.

Tambahnya lagi, bahawa kewujudan Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA), yang digunakan terhadap kanak-kanak lelaki, adalah penghalang kepada kebebasan bersuara.

"Ahli kerajaan harus sedar betapa luasnya Seksyen 233 dalam menjenayahkan ucapan secara dalam talian.

"Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan melindungi kebebasan bersuara, yang memerlukan orang ramai berasa dilindungi daripada tindakan jenayah yang tidak wajar dan tidak seimbang yang diambil ke atas mereka kerana hanya menggunakan kebebasan bersuara.

"Walaupun kebebasan bersuara tidak terbelenggu, hak bukanlah sesuatu yang boleh dihadkan dengan mudah. Kritikan terhadap kerajaan tidak seharusnya dijenayahkan, dan lebih-lebih lagi oleh remaja," tambah kenyataan itu.

Dalam kenyataannya, LFL menggesa semua siasatan polis dihentikan dan perkara itu diserahkan kepada pihak sekolah.

“Kami juga menyeru Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution dan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil untuk menjelaskan penggunaan belum pernah berlaku sebelum ini seksyen 233(1)(a) CMA terhadap murid sekolah.

"Menteri Pelajaran juga mesti memecah kesunyian terhadap pelajar sekolah yang ditahan polis kerana menyiarkan video mengarut," kata Zaid.

Dalam pada itu, dua pelajar terbabit sudah meminta maaf atas kesalahan masing-masing dan bersedia bertanggungjawab atas kesalahan yang dilakukan menerusi satu video permohonan maaf yang tular di media sosial sejak Ahad.

Dalam video berdurasi 2 minit 51 saat itu, salah seorang daripada pelajar terbabit menjelaskan kata-kata yang keluar dari mulutnya itu adalah spontan.

Katanya lagi, apa yang dituturkan itu adalah hanya ingin meluahkan rasa sesama rakan selepas menjawab peperiksaan itu.

“Tapi kawan saya ini dia tersilap langkah, dia tak fikir sebelum buat dan muat naik video dia sendiri tu ke dalam media sosial yang mengakibatkan viral, apa-apa pun, saya di sini nak memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia.”

Pada masa sama, dua remaja itu turut memohon maaf kepada guru dan pihak yang membuat kertas soalan peperiksaan tersebut. Selain itu, rakannya juga turut membuat permohonan maaf atas tindakannya menularkan video itu.

“Saya amat menyesali kerana menularkan video tersebut dan berjanji tidak akan mengulanginya.”

Kata rakannya itu, dia akan bertanggungjawab dalam hal ini kerana telah memburukkan nama sekolah dan nama baik keluarga sahabatnya itu. Akui kesilapannya kerana tidak memikir panjang untuk muat naik video tersebut, remaja terbabit meminta agar orang ramai menghentikan penyebaran video itu. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram