Bapa tak timbul-timbul lepas selamatkan anak hampir lemas di Lubuk Tapeng


  • 112
  • Ahad, 26 Feb 2023

Kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa sedang dijalankan bersama pihak bomba dan agensi penyelamat lain. — Polis Terengganu

KEGEMBIRAAN empat sekeluarga mandi-manda di Lubuk Tapeng, Air Putih,Terengganu bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus sungai.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.45 tengah hari Ahad, mangsa Mohd Mirwan Mohd Remli, 40, yang bekerja sebagai buruh kilang dipercayai hilang ketika cuba menyelamatkan anak lelakinya, Muhammad Zafran Aidil,12, yang hampir lemas.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, menurut laporan, mangsa bersama isteri serta dua anak lelaki mereka yang tinggal di Kampung Ibok dekat Kijal tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi.

Bagaimanapun ketika asyik mandi, salah seorang anak lelaki mangsa dibawa arus ke tengah sungai menyebabkan mangsa yang sedang memancing bergegas turun untuk menyelamatkannya.

"Anak mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berpaut pada dahan pokok berhampiran. Namun pengadu yang juga isteri mangsa panik apabila melihat suaminya tenggelam, tidak timbul-timbul," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Susulan itu, isteri mangsa terus bergegas mendapatkan pertolongan daripada orang kampung dan membuat laporan di balai polis berhampiran.

"Kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa sedang dijalankan bersama pihak bomba dan agensi penyelamat lain," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

lemas, Kemaman, Lubuk Tapeng, polis, bomba.