Tak cakap banyak, JPJ sita terus kenderaan jika bagi pinjam warga asing termasuk Rohingya


  • Primer
  • Rabu, 22 Feb 2023

Pegawai JPJ mengeluarkan saman kepada pesalah lalu lintas pada Ogos tahun lalu. — Gambar hiasan

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mengenakan tindakan lebih tegas kepada rakyat tempatan yang membenarkan warga asing, termasuk etnik Rohingya tiada lesen memandu menggunakan kenderaan milik mereka.

Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, pihaknya memandang serius perkara tersebut kerana ia jelas melanggar peraturan dan undang-undang negara.

"Kita (JPJ) mendapati perkara ini semakin berleluasa dan berkemungkinan ia akan tidak terkawal terutamanya melibatkan etnik Rohingya yang memandu kenderaan tanpa lesen dan insuran.

"Jika jumpa mereka (warga asing) memandu kenderaan, kita akan terus sita dan menghubungi pemilik kenderaan rakyat tempatan untuk dikenakan tindakan lebih tegas," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Taklimat Kursus Sijil Pengajar Institut Memandu (SPIM), di Kota Bharu, Kelantan pada Rabu.

Mohd Misuari berkata, penggunaan kenderaan tempatan oleh etnik Rohingya dilihat serius berikutan sikap mereka lebih berani berbanding warga asing lain, yang hanya menggunakan basikal untuk berulang-alik bekerja.

"Kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) bukan lesen besar untuk mereka memandu. Perkara ini merisaukan kerana ia turut melibatkan nyawa rakyat negara ini.

"Pihak kami telah mengenal pasti kawasan menjadi tumpuan golongan berkenaan dan akan mengatur gerak penguat kuasa untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau turut mengingatkan rakyat tempatan supaya tidak bersikap pemurah dengan memberi pinjam dan menjual kenderaan kepada etnik Rohingya dan warga asing yang tiada dokumen sah.

"Bukan kita anti dengan warga asing, namun mereka perlu mengikuti peraturan yang ada dalam negara ini," tambahnya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

JPJ, kenderaan, warga asing, lesen memandu