Wanita antara 2 suspek samun bersenjata diberkas


  • 112
  • Isnin, 13 Feb 2023

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat. — Bernama

SEORANG wanita antara dua ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan samun berkumpulan dan bersenjatakan parang di sebuah rumah di USJ 9, Subang Jaya, Selangor pada Isnin.

Kedua-dua suspek masing-masing berusia 31 dan 26 tahun itu ditahan dalam dua serbuan di sekitar Klang dan Kuala Langat, Selangor.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, dalam kejadian pukul 3.30 pagi itu, mangsa seorang kerani wanita berumur 43 tahun sedang tidur dalam bilik di tingkat atas dikejutkan suspek lelaki sambil mengacukan parang sebelum mengikat tangannya menggunakan wayar pengecas.

"Suspek turut mengikat tangan ayah mangsa sebelum membawa mereka turun ke tingkat bawah rumah selain turut mengikat pembantu rumah dengan wayar seterika,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Wan Azlan berkata, kedua-dua suspek mengeledah rumah dan mengambil antaranya barangan kemas, telefon bimbit dan wang tunai melibatkan kerugian kira-kira RM7,000 sebelum melarikan diri dengan kereta yang dipandu seorang lelaki di hadapan rumah mangsa.

Menurutnya kedua-dua suspek yang berjaket coklat, seluar jeans biru, memakai pelitup muka dan sarung tangan memanjat tembok bahagian tepi rumah sebelum masuk melalui tingkap yang terbuka di tingkat atas.

"Rakaman kamera litar tertutup di kawasan berhampiran sedang diteliti untuk membantu siasatan dan polis turut merampas antaranya sebuah kereta, dua telefon bimbit, sebuah tablet, dokumen dan beg berkaitan kes ini," katanya.

Wan Azlan berkata, hasil penahanan kedua-dua individu itu polis berjaya menyelesaikan satu kes samun bersenjatakan parang dan satu kes pecah rumah yang disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Orang ramai yang mempunyai maklumat kes diminta menghubungi Pusat kawalan daerah, Subang Jaya di talian 03-78627100 atau Pegawai Penyiasat Inspektor S. Anthony John di talian 016-2093470. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram