Acu pisau paksa tambah nilai TnG, 5 penyamun bersenjata kedai serbaneka 24 jam kena cekup


  • 112
  • Ahad, 12 Feb 2023

Kelima-lima suspek direman selama tujuh hari bermula Ahad sehingga Sabtu depan.

LIMA lelaki warga tempatan ditahan petang Sabtu kerana disyaki terlibat kes samun bersenjata di sebuah kedai serbaneka 24 jam di Taman Keramat Permai, Ulu Kelang, Ampang, Selangor pada 29 Januari lepas.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kesemua suspek yang berusia 20 hingga 30 tahun terbabit ditahan menerusi empat siri serbuan di kawasan Wangsa Maju dan Pudu.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati dua suspek dipercayai memasuki premis dengan seorang bertindak mengacukan senjata pisau ke arah mangsa yang bekerja di kedai berkenaan untuk membuat penambahan nilai aplikasi Touch n Go serta mengambil duit di dalam peti wang manakala tiga lagi menunggu di luar kedai.

"Suspek juga mengambil beberapa barang yang berada di rak rokok dan rak berdekatan dengan kerugian dianggarkan bernilai RM1,500.

"Semasa serbuan, polis turut merampas kereta Perodua Kelisa, beberapa telefon bimbit, dua pasang gari berserta kunci gari, sebilah pedang bersarung hitam sepanjang 53 sentimeter, wang tunai RM300 dan pelbagai barang lain untuk tujuan siasatan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mohamad Farouk berkata, kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula Ahad sehingga Sabtu depan dan semakan mendapati kesemua suspek mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan ujian saringan awal air kencing mendapati kesemuanya positif dadah.

Menurutnya, dengan penahanan itu, polis telah berjaya membongkar dua kes samun kedai serbeneka di Kuala Lumpur yang dilakukan oleh suspek dan soal siasat masih dijalankan untuk mengenal pasti kes-kes lain yang dilakukan mereka.

"Modus operandi mereka adalah melakukan samun secara berkumpulan dengan menyasarkan kedai serbaneka 24 jam dan hasil daripada kegiatan itu akan dibahagikan antara suspek untuk kegunaan perbelanjaan harian mereka.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan tanpa senjata api,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram