Pekerja ladang OKU mengaku bersalah miliki bom tangan, dihukum penjara 10 tahun


Tertuduh didapati bersalah memiliki sebutir bom tangan tanpa kebenaran yang sah di sisi undang-undang yang ditemui di dalam sebuah kereta bersama dua lagi rakannya. — Awani

SEORANG pekerja ladang ternakan lembu dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka pada Jumaat selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki sebutir bom dan senjata tajam, empat tahun lepas.

Hakim Darmafikri Abu Adam memerintahkan P. S. Tamil Kumaran, 36, menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh ditangkap iaitu pada 24 Oktober 2019 di Penjara Sungai Buloh, Selangor memandangkan tertuduh sedang menghadapi satu pendakwaan berkaitan kes bunuh di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Tamil Kumaran didapati bersalah memiliki sebutir bom tangan tanpa kebenaran di dalam kereta Toyota Vios bersama dua lagi rakan di persimpangan lampu isyarat Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin, AMJ di Serkam, dari arah Muar ke Melaka kira-kira 12.15 tengah hari pada 24 Oktober 2019.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua, Tamil Kumaran yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan (tiada mata kanan) didapati bersalah memiliki dua bilah parang dan dua batang kayu rotan tanpa kebenaran di tempat, masa dan tarikh sama.

Pertuduhan bagi kesalahan itu dibuat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara hingga 10 tahun dan sebat.

Hakim memerintahkan hukuman penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan dengan satu sebatan untuk pertuduhan kedua.

Timbalan Pendakwa Raya N. Siva Shangari memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal memandangkan kesalahan itu serius.

Sementara itu, peguam Datuk Sheelan Arjunan yang mewakili tertuduh merayu hukuman diringankan memandangkan tertuduh merupakan OKU selain perlu menanggung keluarga. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram