Pakar motivasi tampil saksi pertama kes gangguan seksual Ebit Lew


Ebit Lew beredar meninggalkan Mahkamah Majistret Tenom, Sabah pada Selasa. — Sinar Harian

PENCERAMAH motivasi, Mohd. Fairuz Abu,37, dipanggil sebagai saksi pertama pihak pendakwaan bagi perbicaraan kes gangguan seksual pendakwah terkenal, Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim,37 di Mahkamah Majistret Tenom, Sabah pada Selasa.

Mohd. Fairuz, atau lebih dikenali sebagai Akhi Fairuz Al-Jengkawi tampil sebagai saksi memberi keterangan kepada mahkamah bagaimana dia meyakinkan mangsa kepada kes gangguan seksual membabitkan Ebit Lew untuk membuat laporan polis.

Dia memaklumkan kepada mahkamah bahawa pada 26 Julai 2021 dia berkongsi di Facebook miliknya berhubung seorang pendakwah selebriti yang melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita.

"Dalam perkongsian di Facebook itu, saya mencadangkan kepada wanita lain yang menjadi mangsa supaya menghubunginya untuk dibantu dari segi kaunseling, psikologi dan juga membantu mereka melaporkan kepada pihak polis," katanya.

Berikutan hantaran itu, beliau menerima berpuluh mesej termasuk seorang mangsa wanita yang menghubunginya pada pukul 11.43 malam 27 Julai 2021 yang mengadu menjadi mangsa Ebit Lew.

"Awalnya, wanita itu tidak memperkenalkan diri serta namanya. Apa yang beliau mesej saya adalah bertanya siapa individu yang saya maksudkan dalam hantaran saya pada 26 Julai 2021.

"Bila saya menyebut tentang Ebit Lew maka wanita itu terus kongsi tangkap layar perbualan Ebit Lew dengan dia dan ada juga menghantar gambar kemaluan yang diberikan Ebit Lew melalui WhatsApp," katanya.

Katanya lagi kepada mahkamah, tangkap layar berkenaan kemudian diberikan kepada Firdaus Wong yang juga ketika itu sedang mengendalikan kes yang sama melibatkan Ebit Lew berkaitan wanita lain.

Mohd Fairuz memberitahu kepada mahkamah bahawa dia menghubungi wanita itu untuk mendengar secara penuh kronologi berhubung kes gangguan seksual terhadapnya sebelum mencadangkan kepadanya untuk membuat laporan polis.

"Awalnya dia takut-takut, rasa tidak selamat untuk berkongsi namun selepas saya menenangkannya, barulah dia berkongsi A-Z (dari awal hingga akhir).

"Maka saya mencadangkan kepada dia untuk membuat laporan polis tetapi dia takut dan berkata 'saya orang kecil saja, Ebit Lew orang besar'.

"Jadi saya berkata, jika ruang dan peluang ini tidak digunakan untuk membuat laporan polis maka bayangkan berapa ramai lagi yang akan diganggu oleh Ebit Lew," katanya.

Mohd Fairuz kemudian memberitahu mahkamah bahawa dia tidak pernah bertemu dengan wanita itu secara peribadi tetapi bertemu di balai polis pada 7 Ogos.

"Saya juga dipanggil menjadi saksi untuk memberi kenyataan kepada pihak polis dan telefon saya diberi kepada pihak polis," katanya.

Ketika memberi keterangan di mahkamah itu, Mohd Fairuz diminta mengecam tiga pegawai polis yang mengendalikan kes itu.

Selain itu, mahkamah turut memanggil enam individu bagi menjalankan proses pengecaman oleh saksi pertama pihak pendakwaan, termasuk seorang pendakwah, Firdaus Wong.

Perbicaraan kes pendakwah itu ditangguh pada tengah hari sebelum disambung semula pada pukul 2 petang di mahkamah sama.

Pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad manakala Ebit diwakili peguamnya, Ram Singh serta Kamarudin Mohmad Chin manakala Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram