Polis cekup 2 gengster mabuk peras ugut peniaga di George Town


  • 112
  • Ahad, 05 Feb 2023

Mohd Shuhaily mengulas tentang kes peras ugut yang berlaku di Jalan Kebun Bunga, baru-baru ini.

DUA lelaki dipercayai ahli geng kongsi gelap ditahan kerana memeras ugut seorang peniaga di tapak perniagaan sempena sambutan Thaipusam di Jalan Kebun Bunga, George Town pada Jumaat lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kedua-dua lelaki berusia 20-an itu ditahan tidak jauh dari lokasi kejadian selepas pihak polis menerima laporan berhubung insiden tersebut yang berlaku pada kira-kira 4 pagi.

"Polis menerima laporan daripada seorang lelaki yang berniaga di kawasan berkenaan mendakwa didatangi dua lelaki yang mengugut mahu merosakkan gerainya kerana berniaga di situ dan mangsa yang bimbang keselamatan dirinya bertindak membuat laporan polis.

"Ekoran laporan polis itu, pihak kami menjalankan siasatan dan menahan dua lelaki tersebut tidak jauh dari lokasi kejadian. Pemeriksaan awal mendapati terdapat tatu geng kongsi gelap di badan mereka dan dipercayai mereka ahli geng tersebut," katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan sempena Thaipusam di Jalan Kebun Bunga pada Ahad.

Menurutnya berdasarkan siasatan, kedua-dua lelaki itu dipercayai berada dalam keadaan mabuk ketika melakukan jenayah tersebut dan kini mereka direman hingga Selasa ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.

Sementara itu, Mohd Shuhaily berkata pihaknya turut membuka empat kertas siasatan kes curi iaitu seluk saku dan seluk beg melibatkan empat mangsa termasuk seorang pelancong Kanada yang hadir pada sambutan Thaipusam di negeri ini.

Katanya lelaki Kanada berusia 79 tahun itu mengalami kerugian RM6,000 selepas menjadi mangsa penyeluk saku ketika sedang leka menyaksikan perarakan pedati di Lebuh Chulia, di George Town pada Sabtu.

"Lelaki itu hanya menyedari dompetnya hilang pada 9 pagi dan bertindak membuat laporan polis. Kami juga menerima laporan polis daripada tiga wanita berusia antara 37 dan 58 tahun yang turut menjadi mangsa seluk saku serta seluk beg.

"Tiga wanita warga tempatan itu kerugian RM1,150 selepas menjadi mangsa dalam kejadian semalam hingga awal pagi ini di sekitar Jalan Utama, di sini untuk meraikan sambutan Thaipusam," katanya.

Beliau berkata pihaknya kini giat mengesan mereka terlibat dan empat kes tersebut disiasat menurut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Menurutnya pengunjung yang hadir diminta agar sentiasa berwaspada dan tidak membawa barang berharga bagi mengelak menjadi mangsa jenayah terutama di kawasan sesak ketika sambutan Thaipusam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram