Air bilasan pinggan jadi punca pekerja pukul mati bos di Alor Setar


  • 112
  • Ahad, 05 Feb 2023

Punca sebenar kematian belum dapat dipastikan. — Foto Ihsan PDRM.

HANYA kerana bertengkar pasal air bilasan, seorang lelaki maut selepas bergaduh dengan pekerjanya dalam satu kejadian di Jalan Stadium, dekat Alor Setar pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kota Seta, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kejadia itu berlaku pada pukul 5.15 petang Sabtu apabila mangsa yang merupakan majikan bergaduh dengan pekerjanya.

"Berlaku pertengkaran dan pergaduhan sehingga mangsa tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri.

"Bedah siasat akan dibuat pada Ahad bagi mengenal pasti punca kematian," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Difahamkan mangsa yang berusia 68 tahun itu rebah selepas bertengkar akibat perselisihan faham dengan suspek yang berusia 55 tahun.

Perselisihan faham itu dipercayai tercetus antara anak mangsa dan isteri suspek yang marah kerana anak pemilik restoran itu menuang air bilasan pinggan ke dalam bekas peralatan yang telah pun dicuci.

Mangsa kemudian keluar dari restoran dan memarahi isteri suspek sebelum berlaku pertengkaran antara suspek dan mangsa.

Dikatakan mangsa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap suspek sebelum tercetus pergaduhan apabila pekerjanya hilang sabar dan menyerangnya menggunakan sebatang kayu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram