905 individu ditahan dalam 137 serbuan Op Limau


  • 112
  • Selasa, 31 Jan 2023

Siasatan dibuat di bawah Seksyen 6(1) dan Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menahan 905 individu di seluruh negara menerusi Op Limau kerana disyaki terlibat dalam perjudian dengan jumlah rampasan dianggar bernilai lebih RM500,000.

Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Saaduddin berkata, kesemua tangkapan itu membabitkan 137 serbuan bagi tempoh 15 hingga 29 Jan lepas.

Beliau berkata, daripada 905 individu ditahan, 650 melibatkan judi dalam bangunan manakala 254 membabitkan kegiatan judi di luar bangunan.

"Op Limau ini dijalankan selama 15 hari di seluruh negara bagi mengekang kegiatan perjudian dalam bangunan dan tempat terbuka sempena Tahun Baharu Cina,” katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, siasatan dibuat di bawah Seksyen 6(1) dan Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Tegas Norsiah lagi, PDRM akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang menganjur dan menjalankan pertaruhan dalam usaha menangani kegiatan perjudian.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan perjudian boleh menyalurkan maklumat melalui hotline WhatsApp Op Limau di talian 016-577 3477. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram