AGC tolak representasi Yasin kaji 3 tuduhan kes dadah


Yasin (dua kiri) ditemui pemberita selepas keluar dari Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada Rabu. — Bernama

JABATAN Peguam Negara (AGC) menolak representasi dikemukakan penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman bagi mengkaji tiga pertuduhan kes dadah yang dihadapinya.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asnawi Abu Hanipah memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Sesyen Nik Nasimah Nik Mohammad bahawa AGC menolak representasi itu pada Selasa, namun surat rasmi berhubung penolakan itu belum dikeluarkan.

"Saya percaya tarikh perbicaraan telah ditetapkan pada 6 Mac ini," kata Mohd Asnawi ketika sebutan kes itu pada Rabu.

Peguam Ariff Azami Hussein mewakili Muhammad Yasin, yang mengesahkan keputusan representasi itu berkata, pihaknya mendapat arahan terkini daripada anak guam untuk memfailkan representasi kedua selewat-lewatnya dua minggu.

Mahkamah menetapkan 20 Februari ini untuk sebutan bagi keputusan representasi kedua.

Penyanyi lagu Mimpi Laila itu didakwa memberikan dirinya dadah jenis '11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid' di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pada 11.05 malam, 24 Mac tahun lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Muhammad Yasin juga didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram dan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah di kediamannya di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara, pada 5.30 petang, tarikh sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 6 Akta ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan dan Seksyen 6B (1) (a) ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6B (3) yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebat tidak kurang daripada enam sebatan, jika sabit kesalahan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

mahkamah, muhammad yasin, tolak, AGC, representasi,