Jawatankuasa kaji semula dasar pendidikan tinggi diberi 3 bulan kemuka penambahbaikan


  • Primer
  • Isnin, 30 Jan 2023

Khaled Nordin menyampaikan amanat pada Majlis Amanat Tahun Baharu KPT pada Isnin. — Bernama

JAWATANKUASA Menyemak dan Mengkaji Semula Dasar Pendidikan Tinggi Nasional ditubuhkan segera bagi memastikan pelan serta dasar Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berpasak pada realiti semasa dan merangkumi kepentingan masa depan lestari, kata Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2023, Mohamed Khaled berkata, jawatankuasa terbabit diberikan masa selama tiga bulan untuk mengemukakan dapatan dan saranan penambahbaikan.

"Beberapa pelarasan dasar harus dilaksanakan. Apatah lagi bila aspirasi nasional bukan sesuatu yang pegun. Ia menuntut perubahan dalam cara bekerja, berfikir dan bertindak.

"Jadi amat penting untuk dasar kita (KPT) juga berubah. Yang lapuk kita tinggalkan, yang baharu kita terokai dan jayakan. Yang silap kita perbaiki, yang salah kita hindari,” katanya.

Menyifatkan dapatan serta saranan daripada jawatankuasa terbabit sebagai sangat kritikal kepada KPT, beliau berkata, ia disebabkan landskap pendidikan nasional ketika ini semakin pelbagai sehingga memerlukan kekemasan kedudukan dan peranan semua pihak.

"Pendidikan tinggi hari ini jauh lebih kompleks, rumit dan mencabar. Kita memerlukan pelan dan strategi yang lebih sofistikated, lestari serta kontemporari yang akan menterjemahkan aspirasi nasional,” katanya sektor pendidikan tinggi tidak lagi terbatas kepada penyediaan graduan berkemahiran demi sebuah pasaran kerja.

Bagi merangka persediaan KPT dalam mengurus pelbagai perubahan dan ledakan teknologi yang mempengaruhi pengajaran dan pembelajaran, beliau mencadangkan penyediaan Kertas Putih mengenai A New Horizon for Science, Technology and Innovation - A Strategy for Malaysia.

"Kertas Putih itu bertujuan menilai secara khusus dan mendalam kesan serta strategi KPT dalam menguruskan pelbagai gangguan teknologi masa kini dan masa depan terhadap pengajaran, pembelajaran serta tatakelola institusi pengajian tinggi, katanya.

"Azam saya adalah untuk melihat dan membuat persediaan bagaimana kita harus mengurus pelbagai perubahan dan ledakan teknologi yang sangat memberi kesan kepada rencana dan pelan pendidikan tinggi negara,” katanya.

Berteras kepada konsep Malaysia Madani yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau berkata, KPT perlu menjadi sebuah kementerian dan mempunyai sistem paling dipercayai dan beliau memohon kerjasama erat daripada warga KPT bagi memulih dan meningkat kepercayaan rakyat kepada kerajaan.

"Defisit kepercayaan sudah menjadi suatu kenihilan yang lazim dalam pelbagai institusi dan sistem kerajaan, KPT tidak terkecuali. Semuanya menerima tempias kesusutan kepercayaan yang sedang membadai negara,” katanya dan berikrar akan merubah situasi berkenaan.

Terdapat enam tonggak konsep Malaysia Madani yang diperkenal pada 19 Januari lepas iaitu KeMampanan; KesejAhteraan; Daya cipta; HormAt; KeyakiNan dan Ihsan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram