SUSPEK yang dipercayai terbabit dengan kes penemuan mayat seorang wanita di dalam semak di tepi jalan Kampung Alor Gali, Marang, Terengganu pada Khamis lepas merupakan ahli keluarga terdekat mangsa.
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, pesara lelaki berumur 59 tahun itu merupakan individu terakhir yang dilihat oleh orang awam berada bersama mangsa, Zarina Mukhtar yang juga orang kurang upaya (OKU) pendengaran, pada pagi 16 Januari di Kampung Rhu Renggeh, Terengganu.
"Hasil maklumat mendapati mangsa menaiki bas dari Kuala Lumpur untuk balik ke Terengganu pada malam 15 Januari. Dimaklumkan mangsa pergi ke Kuala Lumpur untuk mencari kerja, namun difahamkan sudah ditipu.
"Buat masa ini, kami (polis) tidak dapat pastikan lokasi mangsa turun dari bas, tetapi kami percaya suspek mengambil mangsa di Kampung Rhu Renggeh dan ada orang awam melihat mangsa dibawa menggunakan kenderaan suspek,” katanya.
Katanya, pihak polis tidak menolak kemungkinan mangsa meninggal dunia di lokasi lain lebih 36 jam sebelum mayatnya ditemukan di dalam semak tersebut.
Bagaimanapun, Mohd Zain berkata, polis masih menyiasat motif kejadian dan punca kematian Zarina belum dapat dipastikan kerana tiada kesan kecederaan pada badannya.
Tambahnya lagi, suspek yang ditahan petang semalam di Jeli, Kelantan dipercayai merupakan satu-satunya individu yang terlibat dalam kematian mangsa.
"Dengan tertangkapnya suspek tersebut, kami percaya kes ini akan dapat diselesaikan dan sekarang ini kami dalam proses untuk mengumpul bukti bagi mengheret suspek ke muka pengadilan,” katanya.
Rabu lalu, Mohd Zain dalam kenyataan berkata, identiti Zarina, 57, dikenal pasti berpandukan padanan rekod cap jari Jabatan Pendaftaran Negara serta menerusi Pusat Pendaftaran Penjenayah Malaysia dan Singapura (D2) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Mayat itu ditemukan orang awam tanpa sebarang kesan tikaman, tetakan atau kelar dan tiada kesan pergelutan atau tompokan darah dijumpai di lokasi itu.
Pada pagi Khamis pula, suspek direman di Mahkamah Majistret Marang selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram