'Drama apakah?', semua peguam Siti Bainun tarik diri, mungkin diganti Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan


  • Massa
  • Isnin, 16 Jan 2023

Sebahagian peguam yang mewakili Siti Bainun pernah dikecam kerana aksi membuat 'mini love'. — Twitter

PENGASAS Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali akan memberi keterangan dalam prosiding bela diri kes atas pertuduhan mengabai dan menganiaya kanak-kanak perempuan sindrom Down dikenali Bella, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin.

Ia selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan bantahan awal pihak pendakwaan terhadap permohonan Siti Bainun untuk menyemak semula dua pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Bagaimanapun difahamkan berlaku insiden mengejutkan di mahkamah selepas ketua peguam pembelaan memaklumkan peguam daripada lima firma guaman yang mewakili Siti Bainun menarik diri daripada kes berkenaan.

Perkara itu dikongsikan salah seorang saksi pendakwaan, Zurianty Sudin di Facebook pada Isnin.

Zuriaty yang juga bekas sukarelawan Rumah Bonda memaklumkan, antara alasan yang diberikan terhadap penarikan diri ialah kerana tarikh perbicaraan kes Siti Bainun bertindih dengan kes-kes lain.

"Jadual mereka padat dan tidak ada tarikh yang lapang sampai April," tulisnya dalam perkongsian itu.

Katanya, Hakim meminta peguam yang hadir di mahkamah pada Isnin untuk berbincang terlebih dahulu sambil turut menyatakan sebab serta kesan atas penarikan diri secara mengejut itu.

"Hakim bertanyakan kepada orang kena tuduh (OKT), adakah beliau tahu tentang perkara ini. OKT kata baru tahu pagi ini.

"Sekarang OKT tiada peguam dan perlu cari peguam lain. OKT juga mentioned akan cuba cari peguam YBGK (Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan).

"Hakim meluahkan rasa kecewa kerana tarikh-tarikh telah ditetapkan awal. Hakim membacakan kronologi ketetapan dan pengurusan kes selama satu jam.

"Pada pukul 11.30 pagi, Hakim tangguhkan sebentar dan minta OKT berbincang lagi dengan peguam yang ada (Aminahtul Mardiah) bagi bincang lagi.

"Hakim ada menyatakan sebab-sebab dan kesan-kesan atas penarikan diri secara mengejut ini. Antaranya, tidak mahu sesi pembelaan OKT terganggu dan hak OKT membela diri dinafikan," tulis Zuriaty.

WhatsApp Image 2023-01-16 at 12.22.12

Menurut Zuriaty, Hakim juga mengatakan tidak adil untuk peguam bela berbuat demikian.

"Kata Hakim, barisan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) mempunyai lebih banyak komitmen serta kes lain pun boleh hadir ke mahkamah. Jadi (Hakim minta) stay dalam kes dan hormat proses undang-undang.

"Pada 11.40 pagi, Hakim memanggil DPP dan peguam bela ke chamber untuk perbincangan secara tertutup. Kami semua masih menunggu apa keputusannya," katanya.

Sementara itu, seorang lagi aktivis #justiceforbella, Mona Din turut berkongsi berita mengatakan semua 10 peguam yang mewakili Siti Bainun menarik diripada kes berkenaan.

"Inilah hasilnya ambil 10 peguam probono (percuma). Kesian, tiba-tiba semua tarik diri. Tapi OKT tak nangis pula. Drama apakah?.

"Alasa tarik diri? Tidak lapang!!! Tiba-tiba eh??," tulisnya di Facebook. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram