Kes kamera tersembunyi: Polis ambil keterangan 11 individu termasuk pelanggan sedang tukar baju di bilik persalinan


  • 112
  • Rabu, 25 Jan 2023

Tangkap layar video tular yang memaparkan kamera tersembunyi di bilik persalinan sebuah pusat membeli belah.

POLIS setakat ini mengambil keterangan 11 individu berkaitan kes video tular yang memaparkan rakaman daripada kamera tersembunyi di bilik persalinan sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, kesemua individu berkenaan terdiri daripada kakitangan premis terbabit dan pekerja penyelenggara bangunan.

"Setakat ini polis menerima satu laporan daripada mangsa berhubung rakaman video dia menukar pakaian.

"Daripada laporan itu, kita akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti siapa yang bertanggungjawab memasang kamera tersembunyi," katanya ketika ditemui media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada Rabu.

Katanya, setakat ini pihaknya masih menyiasat empat video yang tersebar di media sosial.

"Pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga memaklumkan pemilik Twitter yang menyebarkan video berkenaan gagal dikesan.

"Polis kini masih menunggu laporan daripada CyberSecurity Malaysia bagi mengesahkan ketulenan video terbabit. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan," katanya.

Sebelum ini Majoriti pernah melaporkan tentang seorang pemilik Twitter memuat naik tangkap layar beberapa video daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah bilik persalinan di pusat beli-belah di ibu negara.

Dalam video terbabit turut memaparkan beberapa individu melakukan perbuatan tidak senonoh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram