Budak 5 tahun lemas mandi kolam air panas di Baling


  • 112
  • Isnin, 23 Jan 2023

Seorang kanak-kanak lemas ketika sedang mandi di Pusat Rekreasi Kolam Air Panas, Ulu Legong. — Facebook

KEGEMBIRAAN seorang kanak-kanak bermandi-manda di di Pusat Rekreasi Kolam Air Panas, Ulu Legong, Baling, Kedah bertukar tragedi selepas mangsa lemas dalam kejadian pada Sabtu lalu.

Kanak-kanak perempuan berusia lima tahun itu dipercayai mandi bersama kanak-kanak lain sebelum mangsa dikatakan hilang daripada pandangan.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, polis menerima maklumat kejadian memaklumkan seorang kanak-kanak meninggal dunia ketika sedang mandi di kolam berkenaan.

"Mangsa dikatakan mandi di ruangan kolam kanak-kanak, namun tiba-tiba salah seorang daripada ahli keluarga menyedari mangsa tiada di dalam kolam itu.

"Setelah mencari hampir 15 minit, pengunjung di situ memaklumkan menemui seorang kanak-kanak dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam kolam mandi dewasa," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, kanak-kanak tersebut kemudian dibawa keluar dan diberi bantuan awal pernafasan serta dikejarkan ke Hospital Baling.

Bagaimanapun katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan hospital ketika mendapatkan rawatan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 kerana mengabaikan anak, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, Shamsudin turut menasihati ibu bapa agar sentiasa berwaspada dengan tindakan anak-anak bagi mengelakkan kejadian sama pada masa akan datang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram