Lelaki demam ditemukan rentung, rumah hangus terbakar dijilat api di KB


  • Primer
  • Khamis, 19 Jan 2023

Anggota bomba sedang memadam kebakaran di sebuah rumah yang mengorbankan nyawa di Kota Bharu, Kelantan. — JBPM Kelantan

SEORANG lelaki ditemukan rentung selepas rumah didiaminya hangus terbakar dalam kejadian di Jalan Sultan Yahya Petra, Kota Bharu, Kelantan pada Khamis.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Timbalan Penguasa Bomba Zukeri Shafei berkata, mangsa yang dikenali sebagai Mohd Imeran Jusoh ditemukan di dalam bilik tidur oleh anggota bomba selepas berjaya memadamkan kebakaran itu yang mengambil masa selama 30 minit.

"Pihak bomba menerima maklumat berhubung kejadian itu pada pukul 1.04 tengah hari dan tiba di lokasi kebakaran 12 minit kemudian bersama empat buah jentera dan 14 pegawai serta anggota bomba.

"Setibanya pasukan bomba di lokasi didapati sebuah rumah separa kekal terbakar 90 peratus," katanya pada Khamis.

Mengulas lanjut, Zukeri berkata, mangsa difahamkan ketika kejadian sedang demam dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui punca kebakaran serta jumlah kerugian. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Bomba, Kota Bharu, Kelantan, JBPM, Zukeri Shafei,