RANGKA kerja Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang kukuh dalam mengurus risiko berkaitan iklim, mengamalkan tadbir urus korporat yang berkesan dan menangani ketidaksamaan sosial merupakan suatu kepentingan yang patut dititikberatkan.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, perkara ini sekali gus membolehkan perniagaan kekal berdaya saing dan mampan dalam landskap ekonomi semasa.
Pada masa sama, beliau menggariskan pelbagai inisiatif nasional untuk memacu perubahan transformasi dengan matlamat Net Zero yang jelas dan boleh dicapai.
Hasbi ketika berucap dalam program Sustainability Orientation pada Selasa.
Katanya, ia antara lain termasuk Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), Dasar Tenaga Kerja, Dasar Pengangkutan Negara dan Rangka Tindakan Mobiliti Rendah Karbon.
"Mesti ada anjakan minda untuk menggerakkan korporat Malaysia kepada pengawalseliaan kendiri dan penghayatan yang lebih baik bagi kemampanan dan prinsip ESG," katanya.
Sementara itu, Datuk Muhamad Umar Swift menggalakkan pemimpin dan pihak berkepentingan dalam sektor pengangkutan untuk menerima pakai amalan dan pelaporan ESG.
Pengerusi CEO Action Network (CAN) dan Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia itu berkata, syarikat tersenarai awam di Bursa Malaysia perlu melibatkan rantaian bekalan mereka ke dalam ESG.
"Oleh itu, ESG adalah penting dan amat digalakkan untuk semua perniagaan, sama ada syarikat tersenarai awam atau tidak," jelasnya.
Pada masa sama, beliau memberi jaminan bahawa sektor perniagaan berpeluang memajukan kemampanan syarikat mereka bersama-sama, khususnya melalui CAN.
Justeru, beliau menggesa pemain dalam sektor pengangkutan untuk menyertai rangkaian ini agar semua sumber dapat dimanfaatkan bersama.
Selain itu, beliau turut menyeru pemain industri pengangkutan berganding bahu menonjolkan suara kolektif, berkongsi pengetahuan serta memberikan inspirasi kepada semua golongan.
Katanya, perkara itu penting agar tindakan kolektif untuk mempercepat dan membangkitkan kesedaran agenda kelestarian organisasi, sektoral dan nasional tercapai.
Terdahulu, Kementerian Pengangkutan dan CAN pada Selasa menganjurkan program Sustainability Orientation untuk membincangkan dan meningkatkan kesedaran di kalangan pihak berkepentingan pengangkutan mengenai prinsip ESG.
Acara yang diadakan di Bursa Malaysia, di ibu negara itu menghimpunkan pemimpin dan pihak berkuasa dari sektor darat, maritim dan udara.
Para hadirin disediakan dengan orientasi kelestarian yang meliputi prinsip ESG untuk sektor pengangkutan.
Orientasi tersebut disampaikan oleh Pengarah Urusan Impacto Sdn Bhd, yang juga penasihat kelestarian tempatan dan ahli pengasas CAN, Emeera Hashim.
Turut hadir sebagai penceramah jemputan adalah Pengarah Eksekutif CJ Century Logistics Holdings Berhad, Edwin Yap; dan Ketua Pegawai Strategi dan Kelestarian GDEX Berhad, John Teoh.
CAN merupakan rangkaian tidak formal peer-to-peer tertutup bagi ketua pegawai eksekutif perniagaan terkemuka Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram