Industri sawit dijangka kekal memberangsangkan tahun ini — Ahmad Parveez


  • Bizz
  • Khamis, 12 Jan 2023

Ahmad Parveez berkata, industri minyak sawit Malaysia bersedia untuk meneruskan prestasi memberangsangkan tahun ini — Bernama

HARGA minyak sawit mentah (MSM) pada 2023 dijangka antara RM4,000 dan RM4,200 satu tan metrik berbanding RM5,087.50 setan pada tahun sebelumnya, kata Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir.

Dalam pembentangannya di Seminar Kajian dan Tinjauan 2023 pada Khamis, beliau berkata industri minyak sawit Malaysia bersedia untuk meneruskan prestasi memberangsangkan tahun ini dalam persekitaran permintaan kukuh dan pengeluaran MSM yang lebih tinggi.

"Pemacu utama yang akan mempengaruhi harga MSM ialah ketersediaan buruh yang masih menjadi isu, pengeluaran biji bunga matahari yang lebih rendah dari Ukraine disebabkan perang dengan Rusia dan import minyak sawit lebih tinggi oleh China selepas ia melonggarkan sekatan perjalanan Covid-19.

"Faktor-faktor lain termasuk pengeluaran MSM Indonesia, mandat biodieselnya kepada B35 dan dasar eksportnya yang diperketatkan," katanya.

In a filing with Bursa Malaysia, it said the proposed disposal involved 2,819 ha, together with the oil palm plantation, facilities and infrastructures, among others

Eksport minyak sawit dijangka meningkat sebanyak 3.7 peratus kepada 16.30 juta tan pada 2023 daripada 15.72 juta tan tahun lepas berikutan jangkaan permintaan minyak sawit secara berterusan. — Bernama

Ahmad Parveez berkata, berkuat kuasa 1 Januari 2023, Indonesia mengetatkan dasar eksport minyak sawitnya bagi mengekalkan lebih banyak bekalan domestik dan mengurangkannya untuk eksport bagi memastikan minyak sawit mencukupi untuk musim perayaan kerana pengeluaran dijangka lebih rendah mengikut musim pada suku pertama tahun ini.

"Berkuat kuasa 1 Februari 2023, Indonesia akan mengenakan mandat campuran biodiesel yang lebih tinggi, B35 daripada B30, ia berkemungkinan meningkatkan penggunaan minyak sawit domestik. Perubahan dasar terbaru ini akan menyekat lagi bekalan minyak sawit global.

"Justeru, permintaan untuk minyak sawit Malaysia dijangka meningkat yang akhirnya akan membantu dalam mengurangkan stok minyak sawit domestik yang lebih tinggi,” kata Ahmad Parveez.

Beliau juga memberitahu kebimbangan terhadap risiko bekalan minyak kacang soya disebabkan oleh cuaca kering di Argentina dan selatan Brazil juga merupakan faktor yang akan mempengaruhi harga MSM Malaysia.

"Walaupun terdapat beberapa petunjuk bahawa cuaca kering di Amerika Selatan semakin baik, ia mungkin terlalu lewat untuk menyelamatkan beberapa tanaman," katanya.

Mengenai harga, Ahmad Parveez berkata industri minyak sawit Malaysia mengalami prestasi yang lebih baik terutamanya daripada segi harga pada 2022 berbanding 2021.

"Harga purata MSM pada 2022 meningkat 15.4 peratus kepada RM5,087.5 satu tan berbanding RM4,407 satu tan pada 2021," katanya.

Ahmad Parveez juga berkata, eksport minyak sawit dijangka meningkat sebanyak 3.7 peratus kepada 16.30 juta tan pada 2023 daripada 15.72 juta tan tahun lepas berikutan jangkaan permintaan minyak sawit secara berterusan daripada negara pengimport.

Beliau berkata, 15.72 juta tan eksport minyak sawit 2022 meningkat sebanyak satu peratus berbanding 15.57 juta tan disebabkan permintaan yang lebih tinggi terutamanya dari Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi, Jepun, Bangladesh dan Mesir.

Beliau juga menjangkakan pengeluaran meningkat tiga peratus kepada 19 juta tan metrik pada 2023 daripada 18.45 juta tan pada 2022 susulan jangkaan peningkatan dalam kawasan tanaman matang terutamanya di Semenanjung Malaysia dan Sarawak, selain itu keadaan cuaca dijangka lebih baik serta keadaan buruh yang diunjur akan stabil kerana permohonan pekerja asing telah diluluskan secara berperingkat.

Pengeluaran 18.45 juta tan Malaysia pada 2022 adalah 1.9 peratus lebih tinggi berbanding 18.12 juta tan pada 2021 dan ia disebabkan oleh tandan buah segar (FFB) yang lebih tinggi sebanyak 3.4 peratus berikutan prestasi hasil BTS yang lebih baik sebanyak 0.1 peratus kepada 15.49 tan sehektar, katanya.

Ahmad Parveez berkata, stok minyak sawit pada akhir dagangan yang berjumlah 2.19 juta tan tahun lepas, lebih tinggi sebanyak 35.9 peratus berbanding 1.61 juta tan metrik yang dicatatkan pada Disember 2021.

"Ini disebabkan pengeluaran MSM yang lebih tinggi sebanyak 0.34 juta tan atau 1.9 peratus dan stok pembukaan minyak sawit yang lebih tinggi sebanyak 0.35 juta tan atau 27.6 peratus,” katanya.

Beliau berkata, bagi seluruh Malaysia, pendapatan bersih bulanan pekebun kecil bebas berdasarkan purata pemilikan ladang ialah RM2,634 dengan Sabah mencatatkan RM4,394, Sarawak RM3,189 dan Semenanjung Malaysia berjumlah RM2,150. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram