Masalah keluarga punca kes gaduh depan klinik di Taiping


  • 112
  • Jumaat, 13 Jan 2023

Tangkap layar yang menunjukkan pergaduhan di depan Klinik Kesihatan Taiping pada Khamis.

POLIS menahan enam lelaki pada Khamis disyaki terbabit dalam pergaduhan di hadapan Klinik Kesihatan Taiping, Jalan Tupai seperti yang tular menerusi media sosial.

Ketua Polis Daerah Taiping ACP Razlam Ab Hamid berkata kejadian yang berlaku pada Rabu lepas itu melibatkan seorang mangsa berusia 48 tahun.

"Kesemua yang ditahan berusia lingkungan 19 hingga 37 tahun. Polis turut merampas sebatang rotan dan kayu disyaki digunakan dalam pergaduhan itu,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Razlam berkata hasil siasatan mendapati pergaduhan tersebut berpunca daripada masalah keluarga.

"Dua daripada lelaki itu mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah. Kesemua yang ditahan direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sehubungan itu beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi serta menularkan video kejadian kerana kes masih dalam siasatan selain mengelak daripada mendatangkan kebimbangan terhadap orang ramai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram