
PELAJAR yang terjatuh dari tingkat tiga bangunan sebuah sekolah menengah di Sepang, Selangor pada Jumaat minggu lepas masih tidak sedarkan diri.
"Dia masih tidak sedarkan diri. Kecederaan yang dialami pelajar itu termasuk patah tulang pinggul, patah paha kiri dan tangan kanan," kata Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof.
Tambahnya, selain luka di dagu, mangsa juga mengalami kecederaan di rahang dan patah pangkal tengkorak.
“Setakat ini kami merekodkan keterangan tujuh orang individu iaitu dua guru dan lima orang pelajar,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Pada 6 Januari lepas, seorang pelajar berusia 15 tahun terjatuh dari tingkat tiga sebuah sekolah di Bandar Baru Salak Tinggi dan dikejarkan ke Hospital Putrajaya selepas mengalami kecederaan parah.
Hasil siasatan mendapati, pelajar terbabit mempunyai sejarah kemurungan, yang mana pihak sekolah sudah pun menyediakan beberapa sesi bimbingan kaunseling untuknya.
"Mangsa juga pernah menerima rawatan psikiatri di Hospital Serdang kerana memakan ubat sebanyak 38 biji.
"Salah seorang saksi juga menyatakan bahawa mangsa pernah mencalarkan tangannya di kelas dengan menggunakan pisau pemotong kertas di hadapannya," tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram