Mahu tumpu politik, Bung Mokhtar letak jawatan jadi Presiden SAFA


  • Podium
  • Ahad, 08 Jan 2023

Pada Disember 2020, Ahli Majlis Tertinggi SAFA sebulat suara bersetuju melantik Bung Moktar sebagai Pemangku Presiden SAFA.

DATUK Seri Bung Moktar Radin pada Ahad mengumumkan peletakan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) berkuat kuasa serta-merta.

Bung Moktar, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah dalam kenyataan pada Ahad berkata, peletakan jawatan itu yang disandangnya sejak Jun 2021 dibuat atas kerelaan dirinya selain mahu memberi tumpuan sepenuh kepada kerjaya politik.

Beliau berkata, walaupun mengakui sedikit kecewa dengan pencapaian turun naik Sabah FC, namun sepanjang beliau mengetuai badan induk bola sepak itu, SAFA berupaya melakukan perubahan selain dapat melaksanakan pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi.

"Saya tetap gembira kerana sedikit sebanyak berjaya membawa perubahan kepada pentadbiran SAFA dan beberapa kejayaan pasukan Sabah FC walaupun ia di tahap yang masih belum memuaskan.

"Mengurus badan induk bola sepak khususnya Sabah FC memerlukan sokongan serta dukungan semua pihak terutamanya daripada peneraju utama kepimpinan negeri yang memerlukan kesungguhan untuk membantu SAFA khususnya pasukan Sabah FC melangkah lebih jauh ke hadapan,” katanya.

Pada Disember 2020, Ahli Majlis Tertinggi SAFA sebulat suara bersetuju melantik Bung Moktar sebagai Pemangku Presiden SAFA, sebelum disahkan secara rasmi sebagai Presiden SAFA dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa SAFA pada Jun 2021.

Bung Moktar menegaskan beliau tidak mempunyai agenda peribadi sejak menerajui SAFA, malah terpaksa berhadapan pelbagai cabaran daripada segi kekangan waktu dan sumber kewangan untuk memajukan mutu serta pencapaian sukan bola sepak negeri ini.

"Menjadi harapan saya dan semua peminat yang selama ini menyanjung tinggi pasukan bola sepak Sabah agar terus memberikan sokongan kepada pengganti saya," katanya.

Beliau berkata, surat peletakan jawatannya secara rasmi akan dihantar kepada SAFA dalam masa terdekat untuk dimuktamadkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Sabah, sukan, bola sepak, SAFA, Bung Moktar Radin