Suri rumah tak mengaku bersalah, buka klinik gigi 'haram' dalam bilik hotel di Kuala Terengganu


Tertuduh Norazia Abdul Rahman, 41, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan itu dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nazlyza Mohd Nazri. — Bernama

SEORANG suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Kuala Terengganu, Terengganu pada Rabu atas tuduhan menyediakan klinik pergigian swasta tanpa didaftarkan di Kuala Terengganu, dua tahun lepas.

Tertuduh Norazia Abdul Rahman, 41, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan itu dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Nazlyza Mohd Nazri.

Wanita itu dituduh menyediakan klinik pergigian swasta tanpa didaftarkan di bawah Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) dengan menjalankan perkhidmatan pemasangan veneer yang merupakan suatu amalan pergigian di bilik sebuah hotel di Jalan Sultan Zainal Abidin, Terengganu pada 20 Ogos 2021 pukul 5.55 petang.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta 586 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 5(1)(a) akta sama, yang sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM300,000 atau dipenjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Feb ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Kesihatan Nozaizeli Abu Samah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram