Suami isteri direman 7 hari, cemburu punca tukang masak kena bom


  • 112
  • Rabu, 04 Jan 2023

Pasangan tersebut ditahan di rumah mereka di Kedah pada Selasa.

SEPASANG suami isteri ditahan serta direman selama tujuh hari selepas disyaki terlibat dalam kes letupan bom buatan sendiri di Pandan Indah dekat Ampang Jaya, Kuala Lumpur pada Khamis lalu.

Kedua-dua suspek iaitu lelaki berusia 33 tahun serta pasangannya, 30 tahun ditahan di Kedah pada Selasa dan dibawa ke Mahkamah Majistret Ampang pada pagi Rabu.

Setakat ini, kejadian berkenaan dipercayai bermotifkan cemburu lelaki yang ditahan terhadap mangsa.

Sepasukan anggota dari ibu pejabat polis daerah Ampang Jaya menyerbu sebuah rumah di Kedah dan menahan suspek.

Pada 29 Disember lalu, seorang pelayan restoran di Pandan Indah maut akibat letupan selepas dia memeriksa bungkusan yang diletakkan pada keretanya.

Mangsa lelaki berusia 28 tahun melihat bungkusan diletakkan di atas keretanya kira-kira pukul 8.55 malam pada 29 Disember lalu, dan terus memeriksa bungkusan itu sebelum letupan berlaku.

Mangsa yang cedera parah di badan dan tangan dikejarkan ke Hospital Ampang namun meninggal dunia akibat kecederaannya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram