Lelaki mabuk ditemui lemas dalam kolam takungan di Rawang


  • 112
  • Isnin, 02 Jan 2023

Mayat seorang lelaki tempatan ditemui terapung di Tasik Puteri Centre Park, Batu Arang, Rawang, pada Isnin.  — Bomba

SEORANG lelaki tempatan yang dipercayai mabuk ditemukan lemas dalam sebuah kolam takungan air di Tasik Puteri Centre Park, Batu Arang, Rawang dekat Kuala Lumpur pada Isnin.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung insiden itu pada pukul 10.26 pagi, sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Arang digerakkan ke lokasi.

"Kawalan BBP Batu Arang menerima maklumat daripada pihak polis, menyatakan seorang lelaki tempatan dalam keadaan mabuk dipercayai terjun ke dalam kolam takungan air berkeluasan sembilan meter kali sembilan meter pada kira-kira pukul 10 pagi tadi (Isnin).

"Anggota bomba kemudian membuat kerja pencarian sebelum menemukan mangsa pada kedalaman kira-kira 3 meter dalam kolam tersebut pada pukul 1.33 tengah hari,” katanya pada Isnin.

Norazam berkata, mayat dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk tindakan lanjut. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram