
DUA beradik rentung dalam kebakaran melibatkan sebuah rumah di Jalan Dewan Simpang Tiga Kampung Tanguit Gombak dekat Shah Alam, Selangor pada Isnin.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, mangsa yang maut merupakan Nur Syaza Alfisya Muhammad Faizan, 10, dan adiknya, Muhammad Al Qayyum Muhammad Faizan, 7.
Katanya, kedua-dua beradik itu ditemui rentung pada pukul 4.43 pagi tadi selepas kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pukul 4.13 pagi.
"Semasa kejadian, mangsa dipercayai cuba keluar berdasarkan keadaan mayat, namun pintu jeriji dalam keadaan terkunci.
"Pada waktu itu juga, ibu bapa mangsa tiada di rumah. Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.53 pagi.
"Seramai 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang dan Rawang termasuk Pasukan Bomba Sukarelawan (PBS) dikejarkan ke lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambah Norazam lagi, kebakaran itu melibatkan sebuah rumah teres kelas A berkeluasan 6x24 meter persegi dengan 70 peratus terbakar.
"Punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan lanjut," jelas beliau. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram