MENTERI Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengumumkan penurunan kadar tol di Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) dan Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) bermula tengah malam Sabtu.
Beliau berkata, penurunan kadar tol itu dibuat selepas perbincangan dan persetujuan syarikat konsesi kedua-dua lebuh raya berkenaan iaitu IJM Corporation Berhad selaras dengan keputusan Jemaah Menteri pada 21 Disember lepas.
"Ia juga merupakan sebahagian penyusunan semula struktur dan kadar tol bagi dua lebuh raya yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Nanta, penurunan kadar tol adalah sebanyak 15 sen bagi kenderaan kelas 1 yang melalui plaza tol Loke Yew dan Mines arah Utara dan Selatan di Lebuhraya Besraya.
Sementara itu, kadar tol bagi kenderaan kelas 1 untuk Lebuhraya LEKAS dikurangkan daripada 0.1811 sen per kilometer kepada 0.1666 sen per km bagi sistem tol tertutup manakala bagi sistem tol terbuka iaitu di Plaza Tol Ampangan kadar tol kekal seperti sedia ada.
Nanta menjelaskan, kenderaan Kelas 1 yang melalui mana-mana plaza tol Lebuhraya Besraya perlu membayar RM1.85 sehala manakala bagi pengguna yang menggunakan keseluruhan Lebuhraya LEKAS pula akan membayar RM7.80 sehala.
Kadar tol yang dikutip pada masa ini adalah sebanyak RM2 sehala bagi kenderaan kelas 1 yang melalui mana-mana plaza tol Lebuhraya Besraya dan RM8.30 sehala bagi kenderaan kelas 1 yang menggunakan Lebuhraya LEKAS.
"Melalui penyusunan semula struktur dan kadar tol bagi kedua-dua lebuh raya ini, kerajaan dapat menjimatkan peruntukan bayaran pampasan yang dianggarkan RM1.978 bilion sepanjang tempoh konsesi serta peruntukan ini boleh disalurkan kepada keperluan asas rakyat Malaysia,” katanya.
Nanta berkata, cadangan ini juga merupakan tanda keprihatinan kerajaan dalam membantu rakyat yang berdepan dengan masalah kenaikan kos sara hidup ketika ini.
Selain itu, beliau berkata pihaknya sedang mengambil langkah berterusan untuk mengurangkan beban pengguna lebuh raya tanpa mengabaikan sebarang obligasi yang dipersetujui dengan memastikan kepentingan semua pihak sentiasa dilindungi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram