VOLVO Car Malaysia melakar satu lagi pencapaian dalam perjalanan elektrifikasi dengan pelancaran kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik penuh (EV), Volvo C40 Recharge Pure Electric di Malaysia baru-baru ini.
Volvo C40 Recharge Pure Electric adalah kenderaan elektrik mewah kedua yang dipasang di negara ini selepas XC40 Recharge Pure Electric.
Model EV terbabit ditawarkan pada harga atas jalan RM288,888 termasuk waranti kenderaan selama lima tahun; waranti bateri HV selama lapan tahun atau 160,00 kilometer; bantuan tepi jalan selama lima tahun; bantuan Volvo Service Included (VSI) selama lima tahun atau 100,000 kilometer; bantuan khidmat digital selama empat tahun; dan kabel pengecas kereta.
Volvo C40 Recharge Pure Electric disediakan dalam lima warna iaitu Crystal White, Black Stone, Silver Dawn, Sage Green dan warna terbaru Fjord Blue.
Dari aspek mekanikal, Volvo C40 Recharge Pure Electric dilengkapi dengan rangkaian kuasa elektrik sepenuhnya yang menghasilkan output sebanyak 408 kuasa kuda (hp) dan tork 660Nm yang membolehkan ia memecut daripada 0 ke 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 4.7 saat.
Volvo Car Malaysia melancarkan model SUV baharu, C40 Recharge Pure Electric yang merupakan kenderaan elektrik.
Menurut Pengarah Urusannya, Charles Frump, Volvo C40 Recharge Pure Electric merupakan kenderaan dengan pemasangan tempatan (CKD) dan merupakan SUV Coupe yang pertama hadir dengan Recharge Pure Electric.
Katanya, model itu hadir dengan trenkuasa elektrik sepenuhnya yang menghasilkan output (keluaran) 408hp dan 660Nm tork.
“SUV Coupe Pure Electric ini mampu membuat pecutan dari 0 hingga 100 kilometer sejam (kmj) dalam masa hanya 4.7 saat.
“Dengan kapasiti bateri Lithium Ion 78 kWh, Volvo C40 Recharge Pure Electric ini mampu mencapai jarak perjalanan maksimum sejauh 450 kilometer (km) dengan satu pengecasan penuh,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, Volvo C40 Recharge Pure Electric itu mampu mengecas sehingga 80 peratus dalam masa 28 minit sahaja.
"Volvo C40 Recharge Pure Electric membawa Volvo Car Malaysia selangkah lebih dekat ke arah visi global untuk menghasilkan rangkaian kenderaan elektrik sepenuhnya menjelang tahun 2030 serta menjadi syarikat neutral iklim menjelang tahun 2040," ujarnya.
Volvo Cars baru-baru ini mengumumkan penyertaannya dalam 'Accelerating to Zero Coalition', sebuah usaha untuk menambah baik peralihan kepada mobiliti pelepasan sifar yang dilancarkan di Persidangan Perubahan Iklim PBB (COP27) di Sharm El Sheikh, Mesir.
Volvo Cars juga adalah pembuat kereta pertama yang menyertai inisiatif SteelZero yang bertujuan untuk mempercepat peralihan kepada neutraliti karbon dalam industri keluli global dengan meningkatkan permintaan untuk keluli bebas fosil. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram