Polis Shah Alam nasihat mangsa banjir ambil kenderaan tersadai tepi jalan


  • 112
  • Rabu, 29 Dis 2021

BEBERAPA buah kereta yang masih ditinggalkan di hadapan kawasan perumahan Jalan Riang 25/117, Shah Alam, Selangor. — Ihsan IPD Shah Alam

PARA pemilik kenderaan yang ditinggalkan di tepi jalan selepas banjir di pekan Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam, Selangor diminta mengambil kenderaan masing-masing untuk mengelakkan kecurian.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, selepas banjir surut, pihaknya mengesan masih banyak kenderaan rosak yang ditinggalkan di tepi jalan di beberapa kawasan di Shah Alam.

Ujarnya, terdapat sebuah kereta Proton Saga, lori, kereta jenis Mitsubishi yang ditinggalkan di Persiaran Budiman dari Bulatan Budiman Kuil menghala Bulatan Budiman Masjid.

"Pemilik kenderaan yang meninggalkan kereta di Persiaran Aman berhadapan dengan kawasan perumahan Jalan Riang 25/117 turut diminta untuk mengalihkan kenderaan masing-masing ke tempat yang lebih selamat.

"Di Jalan Abadi 25/58 hadapan Balai Polis Sri Muda terdapat kenderaan jenis Proton Saga, Volvo, Proton Wira, Volkswagen, Toyota Avanza, Proton Inspira, Naza Kia dan Hyundai yang ditinggalkan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pemilik kenderaan supaya segera mengambil kenderaan masing-masing untuk mencegah daripada dikhianati pihak tidak bertanggungjawab.

"Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan, orang ramai boleh berhubung terus di talian 03-55202230 atau Pegawai Penyiasat Kanan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Asisten Superintendan Akmal Rabiatun Zaini di talian 019-6546007," menurutnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram