EMPAT sekeluarga maut selepas kenderaan mereka merempuh belakang sebuah treler di KM70.4 di lorong arah selatan Lebuhraya Utara-Selatan dekat Kluang, Johor pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 7 pagi membabitkan empat buah kenderaan dari Kuala Lumpur menuju ke Johor Bahru.
Kemalangan itu melibatkan kereta Perodua Myvi, Toyota Corolla, Toyota Hiace, treler jenis Volvo dan motosikal Honda RSX150.
“Siasatan kami mendapati kejadian berlaku apabila seorang lelaki berusia 50 tahun yang memandu kereta Perodua Myvi tiba-tiba hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan di tengah lebuh raya.
“Sebuah van di belakang kereta tadi yang dipandu lelaki berusia 40-an, cuba mengelak namun gagal lalu merempuh pembahagi jalan di sebelah kiri jalan.
"Kenderaan ketiga iaitu sebuah treler, cuba memperlahankan kenderaan untuk mengelak van terbabit apabila sebuah lagi kereta dinaiki empat sekeluarga merempuh belakang treler itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Rempuhan itu menyebabkan empat mangsa cedera parah. Salah seorang daripadanya, lelaki berusia 50-an bersama dua anaknya berusia 20-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Isteri mangsa yang juga berusia 50-an meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Kluang.
Difahamkan, dua anak mangsa yang meninggal dunia ialah Goh Xuan Ting, 22, Tan You Xing, 18.
Sementara itu, seorang lagi mangsa yang berada dalam Perodua Myvi dikenali sebagai Ayub Kharsani, 52, cedera ringan.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Renggam, Rahim Razali berkata, 11 anggota bomba dikerahkan ke lokasi kejadian bagi membantu operasi menyelamat.
"Kejadian itu melibatkan lapan mangsa yang mana empat daripadanya disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan. Seorang cedera, manakala tiga lagi tidak," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram