SELEBRITI Awal Ashaari telah mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi menggugurkan pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan palang pagar pondok pengawal milik pengurusan sebuah perumahan di Damansara, Petaling Jaya di Selangor.
Peguam Datuk M Reza Hassan yang mewakili Awal Ashaari atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari, 41, berkata, pihaknya memfailkan representasi itu pada bulan November lepas.
"Mahkamah menetapkan 26 Januari depan bagi mengetahui status representasi berkenaan," katanya ketika dihubungi media pada Selasa.
Pada 17 Mei lepas, personaliti televisyen itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan palang pagar milik Pengurusan Challis Damansara yang nilai kerugian dianggarkan RM600.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di pondok pengawal Challis Damansara, Jalan PJU 3/30, Sunway Damansara, pada pukul 11.30 pagi, 16 April lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan tidak lebih dari lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram