Mayat lelaki lemas ditemukan di tali air Kg Kubang Kachang


  • 112
  • Isnin, 26 Dis 2022

Anggota bomba membawa mayat seorang lelaki yang ditemukan terapung dalam tali air di Kampung Kubang Kachang, Kota Bharu pada Sabtu. — Facebook

PENDUDUK di Kampung Kubang Kachang, Kota Bharu, Kelantan digemparkan dengan penemuan mayat seorang lelaki yang lemas terapung dalam tali air pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam memaklumkan menjumpai mayat di dalam tali air berhampiran sawah padi pada pukul 12.20 tengah hari.

"Susulan daripada maklumat tersebut pihak kami ke tempat kejadian dan menemui mayat seorang lelaki.

"Siasatan awal mendapati lelaki tersebut berusia 45 tahun, tinggal di Kampung Tambak Banggu serta tidak mempunyai rekod lampau," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut beliau, mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk bedah siasat.

Ujarnya, hasil bedah siasat yang dijalankan didapati punca kematian adalah lemas.

Mohd Rosdi memberitahu, bagaimanapun buat masa ini kes diklasifikasi sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut masih diteruskan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram