Jejak tangisan, pesawah temui bayi disorok bawah kerusi gerai makan, uri dibuang di tepi sawah


  • Benua
  • Isnin, 26 Dis 2022

Keadaan bayi yang dibuang di sebuah gerai makan di Kampung Sukobendu.

SEORANG penduduk kampung terkejut apabila menemui bayi baru lahir 'disumbat' di bawah kerusi di sebuah warung dalam kejadian pada Ahad.

Ketua Perhubungan Awam Polis Lamongan, Ipda Anton Krisbiantoro berkata, bayi malang itu ditemui di Kampung Sukobendu, Lamongan, Jawa Timur, Indonesia apabila saksi terdengar bunyi tangisan.

"Saksi dikenali sebagai Mukajid yang terdengar tangisan bayi kemudian mencari punca bunyi itu hingga ke tepi jalan besar, namun tidak menemuinya.

“Hanya ketika dia hendak pulang ke sawah, saksi ternampak bayi di bawah kerusi di hadapan gerai makan milik penduduk yang bernama Hartik,” kata Anton.

penemuan-bayi-lamongan_169

Penduduk kampung digemparkan dengan penemuan bayi di sebuah warung.

Menurut laporan Kompas.com, Mukajid segera memanggil penduduk setempat sebelum bayi itu dibawa ke rumah salah seorang penduduk untuk diberi pertolongan awal.

“Bidan kampung kemudian membawa bayi lelaki itu ke Pusat Kesihatan Mantup,” kata Anton.

penemuan-bayi-lamongan-1_169

Uri dipercayai milik bayi itu ditemui di tepi sawah. — Agensi

Kemudian, seorang penduduk, Abdul Manan, 56, menemukan uri atau plasenta yang dipercayai milik bayi itu di sawah miliknya.

"Saksi meletakkan uri itu dalam beg plastik melaporkan penemuannya kepada polis. Jarak antara penemuan uri dengan tempat bayi ditemui kira-kira 350 meter,” kata Anton.

Bayi itu memiliki berat 2.5 kilogram (kg) dan panjang 46 sentimeter.

Ketika ditemui, tali pusat bayi itu telah dipotong, tetapi tidak kemas dan teratur.

Selepas dibawa ke Pusat Kesihatan Mantup, bayi berkenaan diserahkan kepada Perkhidmatan Sosial. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram