[VIDEO] Bot di Besut tak cukup, mohon orang luar Terengganu bantu selamatkan mangsa banjir terperangkap


  • Tular
  • Isnin, 19 Dis 2022

Keluarga Faradhilla terperangkap dalam kediaman mereka di Kampung Kubang Depu, Besut dekat Terengganu pada Isnin

TULAR satu video memaparkan sebuah keluarga dipercayai terperangkap dalam kediaman mereka di Kampung Kubang Depu, Besut di Terengganu pada Isnin.

Video berdurasi 34 saat itu dikongsikan penyampai radio dan selebriti terkenal Sharifah Shahirah melalui akaun Instagram pada pukul 11 pagi Isnin.

"Air naik di kawasan yang tidak pernah banjir. Minta tolong sesiapa yang ada berdekatan.

"Mak kawan kita @falaaaaaaa_ (Siti Nur Faradhilla Che Zahari) dah menangis. Minta tolong sebab tak pernah banjir kawasaan dia di Besut. Keadaan di sana masih lagi hujan dan mereka masih lagi lagi berada dalam rumah.

"Siapa yang boleh bantu secepat mungkin. Helikopter diperlukan di Kampung Kubang Depu, Besut. Parents dan adik seorang masih berada di sana," katanya.

Dalam video tersebut keadaan hujan lebat dan air banjir sudah melepasi aras pagar rumah berkenaan. Turut kedengaran salah seorang daripada ahli keluarga berkenaan meminta pertolongan orang awam yang melalui kawasan rumanhya menggunakan bot ketika hulan lebat.

Sementara itu Siti Nur Faradhilla ketika dihubungi berkata, keluarganya berjaya diselamatkan pada pukul 1 petang oleh anggota bomba yang menaiki bot.

" Alhamdulillah, ibu dan adik perempuan saya berjaya diselamatkan petang tadi. Mereka menunggu bantuan sejak pukul 9 pagi dan ketika itu air memang naik dengan cepat. Kesemua mereka kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) berdekatan.

"Pagi tadi, mereka semua terperangkap di rumah tidak boleh pergi kemana-mana kerana aliran air yang sangat deras," katanya kepada Majoriti.

Menurut Faradhilla, dia yang bekerja di Kuala Lumpur risau dengan keadaan keluarga dan penduduk di kampung kerana tidak menyangka kawasan rumahnya dilanda banjir dan ia yang pertama sejak tahun 2000.

"Ini memang kali pertama banjir seteruk itu. Air naik dengan cepat dan deras sekali gus menyebabkan penduduk setempat tidak boleh gerak kemana-mana. Saya hanya boleh meminta bantuan daripada kawan-kawan dan orang luar sahaja tadi.

"Bukan itu sahaja, laluan masuk ke kampung hanya boleh dilalui bot dan anggota Bomba sahaja, kawasan lain pun sama. Ada lagi yang terperangkap dan mereka memerlukan bantuan. InsyaALLAH kita cuba bantu mana yang mampu," katanya lagi.

photo1671439270

Faradhilla merayu kepada orang luar yang mempunyai bot atau helikopter untuk membantu mereka yang masih terperangkap dalam banjir di Terengganu.

Faradhilla turut memaklumkan, dia terpaksa meminta bantuan dari luar Terengganu kerana kebanyakkan bot di Besut sudah digunakan.

"Untuk makluman, kita perlukan bantuan dari luar Terengganu sebab bot yang digunakan untuk menyelamatkan mangsa di Besut tidak cukup. Ada yang sudah kehabisan minyak.

"Justeru saya merayu kepada orang luar yang mempunyai bot atau helikopter untuk membantu mereka yang masih terperangkap dalam banjir di Terengganu," katanya.

Dalam perkembangan lain, berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, keadaan banjir di Terengganu semakin buruk apabila seramai 11,415 orang dipindahkan ke PPS.

Setakat jam 8 pagi tadi, mangsa daripada 3,326 keluarga kini ditempatkan di 174 PPS di tujuh daerah. Ia menunjukkan peningkatan berbanding hanya 5,494 orang daripada 1,627 keluarga ditempatkan 103 PPS malam Sabtu.

Jumlah mangsa banjir di Hulu Terengganu terus menunjukkan peningkatan apabila seramai 3,998 orang daripada 1,276 keluarga dipindahkan ke 45 PPS.

Besut turut merekodkan pertambahan mangsa apabila 3,765 orang kini berada 65 PPS di daerah berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram