Kerajaan Perak rancang wujud sejuta peluang pekerjaan dalam tempoh 10 tahun


  • Primer
  • Khamis, 22 Dis 2022

Program MYFutureJobs Perkeso telah membantu mengecilkan jurang kekosongan pekerjaan antara permintaan dan penawaran untuk setiap industri

KERAJAAN Perak merancang untuk mewujudkan sebanyak sejuta peluang pekerjaan dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia Negeri, A. Sivaneesan berkata, kekosongan itu akan diwujudkan daripada pelbagai pelaburan yang dibuat menerusi InvestPerak.

"Kerajaan negeri sentiasa berusaha sedaya-upaya untuk memastikan pelabur tempatan kekal di Perak.

"Antara usaha yang diambil adalah menerusi platform Talent Perak yang membolehkan individu dari Perak memohon pekerjaan," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Katanya, Pusat Aspirasi Anak Perak (Perak) juga diwujudkan bagi menganjurkan pameran kerjaya di seluruh negeri.

"Sebagai contoh, pada 2020, mereka mengadakan pameran kerjaya di lapan daerah, yang mana pemohon boleh memohon pekerjaan secara fizikal atau dalam talian.

"Data pelajar dari negeri ini di kedua-dua institusi pendidikan tempatan dan swasta turut dikumpul bagi membantu menyediakan peluang pekerjaan yang lebih baik di negeri ini," tambahnya menjawab soalan Jason Ng Thien Yeong (PH-Astaka).

Ng sebelum ini meminta penyelesaian masalah 'brain drain' di negeri ini serta mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih baik dengan gaji yang lebih tinggi.

Selain usaha kerajaan negeri, Sivaneesan berkata, Kementerian Sumber Manusia melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) juga telah mengambil langkah proaktif untuk menyelesaikan perkara itu.

"Program MYFutureJobs Perkeso telah membantu mengecilkan jurang kekosongan pekerjaan antara permintaan dan penawaran untuk setiap industri.

"Sebagai contoh, mulai 1 Januari 2021 hingga 9 Disember tahun ini, sebanyak 184,860 pekerjaan telah disediakan di Perak.

"Daripada jumlah itu, 29,772 adalah pekerjaan yang memerlukan kemahiran seperti kejuruteraan perisian, elektrik dan kejuruteraan reka bentuk," tambahnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram