LAUNGAN azan sebelum memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) tujuh lagi mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm, Gohtong Jaya, di Batang Kali, Selangor menjadi antara ikhtiar terbaharu pasukan SAR.
"Azan dikumandangkan oleh seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) sebelum memulakan operasi SAR hari ini (Rabu).
"Ini adalah satu ikhtiar pasukan pencarian," kata Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Hafisham Mohd Noor di Pos Kawasan Tempat Kejadian (PKTK), di Batang Kali pada Rabu.
Operasi pencarian yang memasuki hari keenam berjaya menemukan satu mayat lelaki dewasa pada pukul 11.16 pagi Rabu di sektor B (kem Farmview).
Tragedi tanah runtuh yang berlaku pada pukul 2.42 pagi Jumaat lepas di tapak perkhemahan itu setakat ini menyaksikan 61 orang selamat, 26 terkorban dan tujuh lagi masih hilang daripada keseluruhan 94 mangsa.
Sementara itu, tinjauan di PKTK setakat pukul 7.30 pada Rabu juga mendapati operasi SAR masih ditangguhkan sementara sejak kira-kira pukul 4 petang berikutan hujan lebat.
Selain itu, sidang media yang kelazimannya dilakukan pada pukul 6.30 petang setiap hari, juga tidak diadakan pada Rabu.
Pihak Jabatan Penerangan Malaysia memaklumkan, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah akan memberi pemakluman berhubung perkembangan operasi SAR menerusi kenyataan media sahaja. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram