Tragedi Batang Kali: Mayat budak perempuan ditemukan pada kedalaman ‘luar jangkaan’


  • 112
  • Rabu, 21 Dis 2022

Anggota operasi SAR menemukan mayat ke-25 tragedi tanah runtuh Batang Kali iaitu seorang kanak-kanak perempuan pada 11.15 malam Selasa. — Bomba

MAYAT kanak-kanak perempuan yang juga mayat ke-25 yang ditemukan dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali, Hulu Selangor, Selangor dijumpai bersama empat buah beg mengandungi pakaian dan komputer riba.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintenden Suffian Abdullah bagaimanapun berkata, tiada identiti pengenalan diri dijumpai dalam beg atau berhampiran mayat yang ditemukan pada 11.15 malam, Selasa.

Beliau yang juga Komander Operasi Bencana berkata, mangsa berumur antara enam hingga 10 tahun dan memakai baju tidur berwarna merah jambu.

"Mayat telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh, Selangor untuk proses bedah siasat, identiti masih belum dapat dipastikan,” katanya dalam sidang media bersama Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Hafisham Mohd Noor pada Rabu.

Sehingga kini 61 selamat, 26 terkorban dan lapan masih hilang daripada keseluruhan 94 mangsa insiden itu yang berlaku pada 2.42 pagi, Jumaat.

Suffian berkata, mayat itu ditemukan di sektor C (Riverside) ketika menggunakan korekan jentera, bukannya daripada anjing unit pengesan (K9).

Beliau berkata Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM) memaklumkan keadaan tanah di lokasi pencarian adalah stabil, sekali gus memungkinkan perkembangan positif operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan 100 anggota pada Rabu.

Anggota penyelamat terdiri daripada lima agensi utama yang diketuai Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dibantu empat anjing unit pengesan (K9) dan menggunakan 11 jentera berat.

Beliau berkata, penemuan itu menaikkan semangat pegawai dan anggota penyelamat dalam operasi yang memasuki hari keenam pada Rabu.

"Ya sudah tentu pasukan penyelamat kita pun penat, kalau ada penemuan positif hari ini (Rabu) mereka mungkin lebih bersemangat,” katanya.

Dalam pada itu, satu lagi mayat mangsa insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm ditemukan pada Rabu, menjadikan jumlah kematian akibat tragedi itu kini adalah 26.

Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dalam kenyataan di laman Facebook yang memetik sumber Pusat Pengurusan Operasi JBPM berkata, satu mayat lelaki dewasa ditemukan pada pukul 11.16 pagi di sektor B (kem Farmview).

Kenderaan yang membawa mayat itu dilihat keluar dari lokasi pencarian pada kira-kira pukul 11.57 pagi.

Perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah mangsa yang masih hilang adalah tujuh, manakala 61 selamat, daripada keseluruhan 94 mangsa insiden itu yang berlaku pada 2.42 pagi, Jumaat lepas.

JBPM pada Rabu memaklumkan pasukan mencari dan penyelamat akan membuat penggalian lebih dalam bagi mencari mangsa di kawasan kejadian selepas mengambil kira penemuan mangsa ke-25 pada Selasa yang dijumpai pada kedalaman ‘luar jangkaan’ iaitu kira-kira 17 meter di sektor C (Riverside). — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram