MANGSA ke-26 tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Jalan Genting, Batang Kali, Selangor ditemukan maut dalam keadaan berpelukan dengan anjing peliharaannya pada Rabu.
Dalam sidang media di lokasi kejadian, Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, mangsa ditemukan pada kedalaman kira-kira satu setengah meter dalam keadaan berpelukan bersama seekor anjing di sektor berkenaan.
Pasukan penyelamat turut menemukan seekor lagi anjing berhampiran kawasan itu.
"Kemungkinan besar dia (mangsa) berkhemah di sektor A (Hillview), dibawa oleh tanah runtuh itu pergi ke sektor B (Farmview).
"Maknanya kawasan Sektor B ini saya percaya semua mangsa sudah tiada di situ, jadi kita akan tumpu kepada sektor C dan A, " katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Suffian Abdullah berkata, mayat telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.
"Dua ekor anjing (bangkai) ditemukan bersama mayat berkenaan telah diserahkan kepada Jabatan Veterinar untuk tindakan lanjut," katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram