Pengarah Bomba Selangor diserang strok ringan, SAR di Batang Kali diteruskan


  • 112
  • Isnin, 19 Dis 2022

Norazam ketika sidang media kerja-kerja mencari mangsa tertimbus dalam insiden tanah runtuh di Batang Kali.

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor pada Isnin memaklumkan bahawa pengarahnya, Datuk Norazam Khamis dikejarkan ke Hospital Selayang pada kira-kira pukul 6 petang.

Menerusi satu kenyataan, pihak mereka memaklumkan Norazam dimasukkan ke hospital akibat mengalami keletihan dan angin ahmar ringan (minor stroke).

"Beliau kini dalam keadaan terkawal dan dalam keadaan sedar.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sembilan mangsa yang belum ditemui dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Jalan Genting, Batang Kali, Hulu Selangor masih diteruskan seperti biasa," katanya menerusi kenyataan.

Tambahnya, semua pihak diharap agar mendoakan kesihatan Norazam kembali pulih.

Pada Jumaat, seramai 94 mangsa terlibat dalam kejadian tanah runtuh pada jam 2.24 pagi di tapak perkhemahan Hilltop di Father's Organic Farm, Jalan Genting-Batang Kali, Selangor.

Setakat ini, seramai 24 mangsa disahkan menjadi korban tragedi itu dengan beberapa yang lain masih menerima rawatan di hospital terdekat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram