Penjawat awam antara 6 dicekup, disyaki tokan seludup dadah dalam penjara


  • 112
  • Selasa, 20 Dis 2022

Modus operandi yang digunakan adalah dengan menelan dadah yang telah dibungkus dalam bentuk 'barrel' dan seterusnya dibawa masuk ke dalam penjara. — Gambar hiasan

POLIS menahan enam individu termasuk seorang penjawat awam disyaki terlibat penyeludupan dadah dalam penjara menerusi serbuan berasingan di sekitar bandar Johor Bahru,Johor ini sejak Khamis hingga Ahad lepas.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kegiatan tersebut terbongkar selepas sepasukan anggota cawangan mahkamah Johor Bahru menjalankan pemeriksaan terhadap Orang Kena Tuduh (OKT) yang selesai menjalani perbicaraan, kira-kira pukul 10.30 pagi Khamis lepas.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas OKT tersebut menemukan sembilan biji balutan mampat dalam bentuk 'barrel' berisi dadah disembunyikan di seluar dalamnya, selain dia juga dipercayai menelan sejumlah dadah ketika berada di mahkamah.

"Susulan itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Johor Bahru Selatan telah membuat lima serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini dan menahan tiga lelaki termasuk seorang penjawat awam serta tiga wanita berusia lingkungan 25 hingga 37 tahun.

"Hasil saringan ujian air kencing mendapati dua daripadanya positif dadah jenis methamphetamine, manakala tiga daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan dadah," katanya pada sidang media di IPK Johor pada Rabu.

KOTA TINGGI 11 Dis -- Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat hadir pada Program Dialog Ketua Polis Johor bersama Warga Felda Daerah Kota Tinggi di Dewan Semai Bakti , Felda Gugusan Adela, Kota Tinggi hari ini.--fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat. — Bernama

Kamarul Zaman berkata, pihak hospital berjaya mengeluarkan sebanyak enam biji balutan mampat dalam bentuk 'barrel' berisi dadah melalui pembedahan yang dijalankan terhadap OKT.

"Selain itu, kita turut merampas 44.74 gram ganja bernilai RM2,237, syabu seberat 28.84 gram bernilai RM2,884 serta wang tunai berjumlah RM3,800.

"Modus operandi yang digunakan adalah dengan menelan dadah yang telah dibungkus dalam bentuk 'barrel' dan seterusnya dibawa masuk ke dalam penjara setelah selesai perbicaraan di mahkamah untuk diedarkan," katanya.

Beliau berkata kesemua mereka direman hingga esok untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Kamarul Zaman berkata bermula 1 Jan hingga Ahad lepas, JSJN Johor berjaya menahan seramai 14,175 individu atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah dan merampas dadah sebanyak 4.25 tan metrik bernilai RM14.15 juta serta menyita harta sindiket dadah bernilai RM10.95 juta. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram