[VIDEO] Banjir: Tolak sentimen politik sempit, fokus bantu rakyat


  • Massa
  • Isnin, 19 Dis 2022

Banjir yang melanda Terengganu dan Kelantan dilaporkan semakin buruk.

SELEPAS tragedi tanah runtuh di Batang Kali, Selangor berlaku pada Jumaat lalu, bencana banjir pula melanda bahagian Pantai Timur negara seperti yang dijangka.

Malah,banjir yang mula melanda negara sejak beberapa hari lalu juga dilihat semakin buruk dengan jumlah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang semakin banyak dibuka.

Menerusi laman web InfoBencanaJKM setakat pukul 11 pagi Isnin, PPS paling banyak dibuka di Terengganu, iaitu sebanyak 190 buah diikuti Kelantan (91),Johor (3), Perak (2) dan Pahang (1).

Dapat dilihat lokasi Pantai Timur negara cukup terkesan dengan jumlah mangsa di Terengganu melibatkan sebanyak 13,526 orang dan Kelantan, 12,148 orang.

Keadaan hujan yang masih belum reda di dua negeri tersebut juga mengundang rasa risau orang ramai dan berharap supaya bantuan segera dapat dihulurkan.

Malah, ramai yang berharap supaya sentimen politik diketepikan buat seketika dan beri tumpuan kepada usaha untuk membantu mangsa banjir.

Seorang warganet, Mohd Zaikam berkata, tahun ini diramal kemuncak fenomena La Nina sepanjang tiga tahun sebelum ini dan berkemungkinan banjir besar bakal berlaku lebih teruk berbanding 2021.

"Harap semua pihak tidak kira fahaman politik dapat duduk semeja untuk menyusun koordinasi bantuan dan langkah keselamatan terbaik untuk semua mangsa banjir.

"Ketepikan dahulu perbezaan politik sempit," katanya.

Khairul Naim Zainal Abidin pula berkata, parti politik boleh mula menggerakkan skuad banjir di negeri masing-masing.

"Janganlah hanya tahu bergaduh sahaja, bila dah jadi musibah begini, masing-masing senyap," katanya.

Seorang lagi warganet, Jamari Senin berkata, tiada guna berbalah mengenai politik ketika rakyat sedang berdepan musibah.

"Adalah lebih baik jika bantuan segera dapat dihulurkan sama ada oleh kerajaan negeri mahupun pusat," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram