Total 21 identiti mangsa tragedi Batang Kali sudah dikenal pasti — Nadma


  • 112
  • Ahad, 18 Dis 2022

Orang ramai berdoa selepas meletakkan jambak bunga di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJK(C)) Mun Choong sebagai tanda bersimpati kepada 20 guru dan keluarga dari sekolah tersebut yang menjadi mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, Batang Kali, Selangor pada Jumaat

SERAMAI 15 lagi mangsa yang ditemukan meninggal dunia dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali, Selangor dikenal pasti setakat 1 tengah hari pada Ahad.

Jumlah itu menjadikan 21 daripada 24 mangsa yang ditemukan meninggal dunia, sudah dikenal pasti.

Kenyataan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memaklumkan identiti mangsa dikenal pasti menerusi tiga kombinasi kaedah, iaitu pengecaman asid deoksiribonukleik (DNA), cap jari dan pengecaman pihak waris pada wajah atau pun barangan peribadi serta tanda unik pada badan mangsa.

"Proses bedah siasat untuk semua 24 mayat telah selesai dijalankan. Tiga daripada 24 mangsa yang meninggal dunia sedang dikenal pasti melalui kaedah-kaedah ini,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, dua orang masih menerima rawatan di Hospital Selayang dan seorang di Hospital Kuala Lumpur, manakala dua yang menerima rawatan di Hospital Selayang sebelum ini, telah dibenarkan pulang pada Sabtu.

"Sebarang maklumat terkini mengenai perkembangan mangsa-mangsa bencana akan dimaklumkan dari masa ke masa, setelah mendapat pengesahan rasmi daripada agensi yang bertanggungjawab,” menurut kenyataan itu.

Pada 2.42 pagi Jumaat, berlaku runtuhan tanah sepanjang hampir 300 meter dan setinggi 70 meter di tapak perkhemahan tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram