[VIDEO] Gara-gara selfie, wanita maut kepala terhentak pembahagi jalan ketika main tarik tali


  • Benua
  • Isnin, 19 Dis 2022

Keadaan mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala selepas pertandingan tarik tali di Makassar, Indonesia pada Ahad. — Facebook

PERTANDINGAN tarik tali anjuran persatuan alumni sebuah universiti berakhir dengan tragedi selepas salah seorang peserta wanita maut akibat kepalanya terhentak pada pembahagi jalan konkrit.

Dalam kejadian pada Ahad, tali yang digunakan dalam acara anjuran Ikatan Alumni Universiti Hasanuddin (Ika Unhas), Makassar, Indonesia itu terputus ketika ditarik.

Salah seorang peserta, Muh Fahmi Erwin berkata, tali sepanjang 1.54 meter yang terbentang dari Jalan Ratulangi hingga Jalan Jendral Sudirman secara tiba-tiba terputus.

Menurut Erwin, kejadian bermula ketika para peserta daripada dua kumpulan sedang menunggu isyarat untuk memulakan pertandingan tarik tali.

"Di lokasi, para peserta ada sebahagian peserta menunggu isyarat pertandingan manakala sebahagian duduk berteduh kerana acara lambat dimulakan.

"Ketika itulah tiba-tiba tali itu ditarik kuat hingga putus menyebabkan ketua kumpulan saya terpelanting sebelum rebah di atas jalan dengan kepalanya berdarah akibat terhentak pembahagi konkrit," katanya.

Mangsa dikenali sebagai Masyita dan merupakan Ketua Rukun Tetangga Keluharan Ballaparang, Makassar.

Sementara itu, Jawatankuasa Ika Unhas, Mursalin berkata, tiada unsur kesengajaan dalam kejadian malang itu.

Menurutnya, mangsa tiba-tiba tertarik apabila tali yang direntangkan itu direntap secara kuat.

Ketika itu, katanya, mangsa sedang berswafoto dengan orang sekeliling sambil memegang tali berkenaan.

319362044_1275564393008920_7581290510362758753_n

Mangsa dikenali sebagai Masyita dan merupakan Ketua Rukun Tetangga Keluharan Ballaparang. — Facebook

"Dia tengah selfie dengan para peserta wanita lain, pegang tali sambil selfie jadi sebelah tangan pegang tali macam tu.

"Tiba-tiba tali tertarik dan mereka jatuh serta terseret ke atas jalan. Jadi tidak ada unsur kesengajaan," katanya seperti dilaporkan TribunMakassar.com.

Ketua Polis Daerah Ujung Pandang, Komisaris Syarifuddin menegaskan pertandingan tarik tali tidak mempunyai permit untuk beroperasi.

639e7f79d8563

Keadaan panik ketika salah seorang peserta pertandingan tarik tali mengalami kecederaan akibat terseret dan terhentak pembahagi jalan. — Facebook

“Sebenarnya kami tidak tahu mengenai acara ini kerana tiada makluman kepada polis.

"Jadi polis tidak turut serta dalam mengawasi acara tersebut," katanya.

Selain menyebabkan seorang maut, insiden tersebut turut mengakibatkan 11 peserta cedera. Pertandingan itu disertai 5,000 peserta yang dibahagikan kepada dua kumpulan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram