'Mereka tak buat kerja cincai', kenalan pertahan operator tapak khemah Batang Kali


  • Massa
  • Ahad, 18 Dis 2022

Keadaan di lokasi kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm, Batang Kali. — Bernama

PENGENDALI tapak perkhemahan persendirian yang berdepan insiden tanah runtuh Batang Kali, baru-baru ini, dikenali sebagai seorang yang sentiasa membuat perancangan secara berhati-hati dan terperinci jika ada melibatkan aktiviti luar.

Menurut seorang paramedik bertauliah, Brandon Chee, 44, dia mengenali operator tapak perkhemahan itu sejak 12 tahun lalu dan mereka disifatkan sebagai individu yang baik, berbudi bahasa dan merendah diri.

Brandon berkata, sebagai pencinta alam semula jadi, mereka memulakan fasiliti itu selepas kelonggaran terhadap sekatan perintah kawalan pergerakan dilaksanakan.

"Sebelum ini pun, mereka memang suka berkhemah. Saya pernah menyertai mereka dan berdasarkan pemerhatian, mereka bukan orang yang buat kerja cincai," katanya.

Tambah Brandon lagi, aktiviti luar sememangnya ada risiko tersendiri dan sebagai hos, adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk memastikan peserta mendapat taklimat mencukupi tentang potensi bahaya.

Sementara itu, seorang penganjur jelajah dan juruacara, James Chee, 58, pula menganggap kejadian itu tidak dapat dielakkan.

“Tiada siapa dapat meramalkan runtuhan tanah itu boleh bergerak ke bawah sejauh itu dan menimbus kawasan yang begitu luas,” katanya.

James berkata, pengendali tapak perkhemahan dinasihat melibatkan diri dengan ahli geologi atau jurutera untuk menjalankan kajian kesesuaian tapak sebelum membenarkan perkhemahan di kawasan tersebut.

Menurutnya, satu lagi kaedah lain ialah dengan melakukan tinjauan ke tapak perkhemahan untuk mengkaji rupa muka bumi dan mengenal pasti sama ada kawasan itu mempunyai sejarah tanah runtuh atau banjir kilat.

Jabatan Perhutanan Selangor, Perak dan Pahang menasihatkan peminat aktiviti luar untuk menangguhkan aktiviti mendaki dan berkelah di kawasan rekreasi berikutan cuaca buruk semasa musim tengkujuh.

Taman hutan eko dan tempat mendaki di hutan simpan di bawah seliaan Jabatan Perhutanan akan ditutup sehingga diberitahu kelak. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram