PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diharap dapat lebih berani mengemukakan cadangan Bajet 2023 yang akan dikaji semula.
Pakar ekonomi, Prof Dr. Barjoyai Bardai berkata, Bajet 2023 yang dibentangkan sebelum ini bersifat jangka pendek.
"Pengumuman Bajet 2023 yang dibentangkan sebelum ini memang nampak cuba menangani masalah semasa tetapi tidak banyak yang diperuntukkan untuk penstrukturan semula ekonomi.
"Walaupun modal bajet dinaikkan sebanyak RM40 billion, tetapi tiada cadangan konkrit untuk penstrukturan semula ekonomi.
"Sedangkan penstrukturan ekonomi itu perlu dilakukan semula kerana kita sebenarnya sudah overdue dari tarikh yang sepatutnya," katanya.
Menurut Barjoyai, menteri yang ada sebelum ini tidak berani untuk melakukan penstrukturan semula ekonomi kerana khuatir penerimaan rakyat.
Disebabkan itu katanya, beliau berharap supaya Anwar dapat lebih berani bukan sahaja dalam membuat keputusan kaji semula Bajet 2023, tetapi juga mencadangkan penstrukturan semula ekonomi.
Dalam pada itu, Barjoyai berkata, Anwar juga perlu mengambil kira perkembangan semasa untuk mengkaji semula Bajet 2023.
Tambahnya, perkara itu penting kerana negara sedang berdepan dengan cabaran penting untuk mengembalikan semula kekuatan ekonomi.
Terdahulu, Anwar memaklumkan Bajet 2023 akan diteliti semula dan menafikan bahawa beliau menentang semua cadangan sebelum ini.
Anwar berkata, beliau akan cuba menumpukan usaha untuk menguruskan ekonomi negara dan membina keyakinan pelabur. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram