[VIDEO] Disangka ejen perisik, 3 pemandu teksi mati dipanah, kena tetak pemberontak


  • Benua
  • Isnin, 12 Dis 2022

Tangkap layar memaparkan salah seorang mangsa korban dalam kejadian tersebut.

TIGA pemandu teksi yang disangka polis dan ejen perisik mati dibunuh sekumpulan pemberontak di Papua, Indonesia baru-baru ini.

Kekejaman tersebut berjaya dirakam menerusi sebuah video berdurasi 31 saat sebelum tular di media sosial.

Difahamkan, terdapat tiga mangsa dilaporkan terkorban manakala tiga lagi parah namun sempat menyelamatkan diri.

Kesemua mereka ke kawasan tersebut untuk mencari nafkah sebagai pemandu teksi, namun dilaporkan secara tidak sengaja berselisih jalan dengan kumpulan terbabit.

Kesemua mereka ditahan kumpulan pemberontak tersebut sebelum tiga daripadanya dibunuh dengan kejam menggunakan pelbagai senjata seperti busur, parang dan senjata api.

Kekerasan berlaku selepas puak pemberontak tersebut menyangka kesemua mereka merupakan pegawai perisikan pihak berkuasa Indonesia yang menyusup masuk ke kawasan terbabit untuk mendapatkan maklumat.

Terdahulu, konflik berlaku selepas masyarakat Papua ingin menuntut kemerdekaan daripada kerajaan Indonesia.

Kumpulan itu turut mendakwa Indonesia melakukan kempen pembunuhan beramai-ramai terhadap komuniti Orang Asli di Papua.

Papua adalah bekas tanah jajahan Belanda yang terletak di daerah barat Pulau New Guinea.

Walaupun kaya dengan khazanah alam, ia antara wilayah termiskin di Indonesia dan menjadi pusat kepada pemberontakan puak pemisah sejak sedekad lalu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram