
MENTERI Belia dan Sukan merangkap Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menyalurkan RM29,000 bagi membantu pengurusan Masjid Al-Imam Al-Ghazali membeli sebuah van jenazah untuk kegunaan masjid tersebut.
Beliau berkata, peruntukan tersebut merupakan penambahan kepada dana terkumpul pihak masjid itu.
"Saya telah dimaklumkan oleh pihak masjid mengenai keperluan mendapatkan sebuah van jenazah dan difahamkan mereka telah mengumpulkan dana tetapi masih tidak mencukupi. Saya sudah lihat kertas permohonan mereka dan saya telah menyalurkan RM29,000 untuk mencukupkan peruntukan itu.
"Saya percaya van jenazah ini akan memanfaatkan penduduk Segambut yang memerlukan kerana penyewaan sebuah van biasa agak mahal," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan van jenazah yang sedia digunakan di masjid tersebut di Segambut, Kuala Lumpur pada Isnin.
Dalam pada itu, Yeoh berharap wakil rakyat lain di bawah Kerajaan Perpaduan turut menjaga kebajikan rakyat di kawasan masing-masing tanpa mengira kaum dan agama.
"Apabila permohonan (dana) masuk, saya tak lihat agama ini kena bagi berapa dan sebagainya, kalau ada apa sahaja keperluan kita akan salurkan mengikut kemampuan. Saya turut berterima kasih kepada penderma dana yang telah membantu membolehkan pembelian van ini," katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram