PERMINTAAN seorang lelaki meminta hak sama rata untuk komuniti Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) di Malaysia mengundang pelbagai persoalan orang ramai.
Melalui satu video tular yang dimuat naik di aplikasi Telegram Info Semasa Official pada Jumaat itu memaparkan seorang lelaki meminta rakyat Malaysia menerima mereka dengan seadanya dengan memberi layanan yang sama tanpa diskriminasi.
Menurut lelaki yang dipercayai menyokong budaya LGBT itu, golongan tersebut hanyalah manusia biasa yang memiliki naluri berbeza.
"Kami ini hanya manusia biasa, saudara sesama Islam tetap kami dilayan seperti bukan saudara.
"Itu yang membuatkan kami lebih jauh daripada Islam sendiri kerana layanan daripada seorang Muslim yang sangat kasar dan menganggap kami ini sah ahli neraka," katanya dalam video tersebut.
Lelaki itu juga berharap Malaysia dapat menjadi sebuah negara yang menerima golongan LGBT.
"We are human,we are all the same. Cuma berbeza naluri.
"Kalau Malaysia mampu menjadi sebuah negara yang menerima golongan LGBT, saya yakin Malaysia akan menjadi sebuah negara yang lebih aman dan lebih gembira.
"We can be a better nation, sekiranya semua orang mempunyai layanan yang sama dan keselamatan kami terjamin, saya rasa Malaysia akan lebih berkembang maju.
"Jadi harapan saya terhadap Malaysia adalah untuk kami diterima dan diberi sokongan penuh supaya kami lebih bebas untuk memberi sumbangan kepada negara," katanya.
Video berdurasi lebih daripada seminit itu pada mulanya dimuat naik di akaun TikTok @zan._30 namun hasil pemerhatian Majoriti, video tersebut sudah dipadamkan sebelum ia ditularkan semula di sosial media.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet memberikan pendapat yang berbeza.
Malah Ahmad Dean mempertikaikan tindakan lelaki berkenaan yang mengaitkan agama dengan LGBT.
"Agama Islam itu sendiri mudah, kenapa perlu cakap saudara sesama Islam memberi layanan yang berbeza? Sedangkan selama ini golongan kamu (LGBT) boleh hidup bebas. Ini boleh menjatuhkan fitnah," tulisnya.
Seorang lagi pengguna Telegram, Paskal@Mizi meminta lelaki tersebut untuk bertaubat dan meminta maaf pada umat Islam yang lain.
"Kalau hendak diterima, bertaubatlah ke jalan yang benar. ALLAH maha pengasih, asalkan ikhlas. Pasti diampunkan dosa-dosa," tulisnya.
Bagi Alfian, pendapat individu tersebut seperti seorang yang tidak mempunyai akal fikiran yang waras.
"Aku syak dia ni ada masalah mental, macam telan dadah pun ada. Bercakap macam khayal, malas nak mencarut nanti kita yang dapat dosa. Apa-apa pun semoga tiada yang buruk jadi kat dia. Nampak komen yang lain dalam ini aku pulak yang takut dia kena tibai," katanya.
Untuk rekod sebelum ini media pernah melaporkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa yang mengatakan bahawa LGBT tidak seharusnya didiskriminasikan, tetapi tidak boleh mencabar sistem dan nilai di negara.
Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan media daripada pihak berkuasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram